Polis siasat ‘kempen kerakyatan’ didakwa guna logo Warisan

Gambar menunjukkan beberapa lelaki memegang borang kewarganegaraan yang sudah diisi.

KOTA KINABALU: Polis mula menyiasat individu bertanggungjawab dalam kempen kerakyatan yang didakwa menggunakan logo Warisan, selepas 12 laporan diterima berhubung isu itu setakat ini.

“Kami masih menyiasat,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah kepada wartawan di ibu pejabat polis negeri di Kepayan hari ini.

“Satu kertas siasatan sudah dibuka.”

Warisan menafikan pembabitan dalam kempen kerakyatan itu dengan Setiausaha Agungnya, Loretto Sipin Padua Jr menyalahkan beberapa individu tidak dikenali yang didakwanya menggunakan logo parti itu di Lahad Datu, pantai timur Sabah.

Katanya, parti itu tidak melantik ejen untuk mendaftarkan individu yang mahu memohon Mykad kerana ia bukan tanggungjawab Warisan untuk berbuat demikian.

Ia susulan penyebaran gambar beberapa lelaki dedngan borang tertera logo Warisan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman dilaporkan berkata, ia mungkin kerja sindiket yang menjual borang palsu untuk menipu pendatang asing tanpa izin.

“Sindiket ini mengambil kesempatan daripada keadaan terdesak pendatang asing untuk membeli borang pada sebarang harga kerana mereka fikir akan diberikan dokumen sah untuk tinggal di sini.

“Saya boleh sahkan tiada program di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk mendaftarkan pendatang asing tanpa izin melalui Jabatan Pendaftaran Negara atau Jabatan Imigresen.”

Azis yang juga ketua Pemuda Warisan berkata, parti itu akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Kehilangan pemandu Grab

Sementara itu, Omar mengesahkan polis sudah mula menyiasat kehilangan pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar, yang dilaporkan hilang oleh teman wanitanya semalam.

Katanya, polis sedang mengumpul lebih banyak maklumat berhubung kes itu.

Teman wanita Hanafiee dalam laporannya berkata, kereta pemuda itu diletak berhampiran sebuah bazaar Ramadan di Indah Permai, dekat sini, pada 12.30 pagi 26 Mei lalu.

Beliau berkata, kereta itu dikunci, tetapi terdapat kesan darah pada stereng, brek tangan, bahagian dalam cermin depan dan pintu depan.

Katanya, beliau gagal menghubungi Hanafiee sejak 24 Mei lalu.