
Tinjauan Bernama mendapati persimpangan jalan memasuki jambatan angkat dari kedua-dua arah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dipenuhi kenderaan untuk melalui jambatan sepanjang 638m itu.
Sebaik sahaja kon jalan dibuka tepat 7 pagi, pemandu kereta serta penunggang motosikal memasuki jambatan itu sambil membunyikan hon bagi menzahirkan keterujaan mereka menjadi antara orang terawal “merasmikan” jambatan itu.
Terdapat juga pengunjung sekadar berdiri di tepi jalan bergambar dan merakam video pembukaan jambatan itu.
Seorang penduduk tempatan, Fauziah Jusoh, 42, tiba di jambatan itu seawal 6 pagi kerana sudah lama mahu melihat jambatan angkat itu dengan lebih dekat.
“Apabila dapat tahu jambatan itu akan dibuka hari ini, saya sangat teruja. Selepas sahur dan menunaikan solat Subuh, saya terus bersiap ke sini,” katanya.
Fauziah yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, sebagai anak tempatan, beliau bangga menjadi antara orang terawal melalui jambatan ikonik baru Terengganu itu.
Seorang penduduk Seberang Takir, Muhammad Sollehin Yunus, 38, gembira kerana perjalanan ke pusat bandar dari rumahnya dapat dipendekkan kira-kira 10 minit berbanding 15 hingga 20 minit sebelum ini.
“Kalau dahulu, untuk ke Kuala Terengganu terpaksa melalui jalan jauh, namun kini ada jalan pintas. Hanya melalui bulatan berdekatan Pantai Teluk Ketapang terus ke jambatan angkat ini dan sekejap sahaja sampai ke Kuala Terengganu.”
Penjawat awam itu menunggu di persimpangan masuk jambatan angkat dari arah Kuala Nerus seawal 6.30 pagi.
Jambatan angkat yang mempunyai 2 menara setinggi 16 tingkat itu dibuka untuk percubaan hari ini hingga 17 Jun.
Sementara itu, Pengurus Kanan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Razlee Hassan berkata, sebanyak 300 hingga 400 kenderaan dijangka melalui jambatan itu hari ini.
Namun katanya, orang ramai tidak dibenarkan berjalan kaki di atas jambatan itu untuk mengambil gambar kerana laluan pejalan kaki masih ditutup.
“Buat masa ini, pejalan kaki kita tidak benarkan sebab pembukaan sementara ini hanyalah untuk percubaan trafik, iaitu buka pada kenderaan saja sebab kita tidak mahu ada masalah trafik.
“Kena bersabar dahulu untuk bergambar…Insya Allah selepas 17 Jun ini, kita akan umumkan tarikh pembukaan secara rasmi, pada masa itu ambillah peluang untuk bergambar.”
Beliau berkata, sempena Aidilfitri ini, persekitaran jambatan angkat itu akan dipasang lampu berwarna-warni pada waktu malam dari 4 hingga 7 Jun ini.