Anak saudara bakar rumah pusaka 3 warga emas buta kerana RM50

Anak saudara bakar rumah pusaka 3 warga emas buta kerana RM50

Suspek direman 4 hari selepas membakar rumah pusaka berusia lebih 100 tahun didiami 3 ibu saudaranya yang enggan memberi RM50 kepadanya untuk membeli gam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (depan, 2 dari kiri) mendengar penerangan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor (kiri) mengenai kebakaran rumah 3 beradik cacat penglihatan sebelum menyampaikan sumbangan kepada mereka semalam. (Gambar Bernama)
ARAU:
Tiga beradik warga emas yang cacat penglihatan tinggal sehelai sepinggang apabila rumah pusaka berusia lebih 100 tahun yang didiami mereka di Kampung Titi Besi, di sini, musnah dibakar anak saudara sendiri.

Dalam kejadian 4 petang kelmarin, Halijah Ibrahim, 78, Che Manai, 73, dan Zainah, 67, kerugian lebih RM10,000 apabila wang tunai, barangan kemas, geran tanah dan baju raya mereka musnah dalam kebakaran berpunca daripada tindakan anak saudara mereka yang berang selepas gagal meminta wang daripada ibu saudaranya.

“Dia (suspek) minta duit kat saya RM50. Saya kata mana ada duit banyak itu, lalu dia mengamuk dan tinggalkan rumah dalam keadaan marah. Saya tak layan sebab tahu dia gunakan duit tu untuk beli gam (hidu gam).

“Baju raya saya dah siap diseterika dan disimpan dalam almari, tapi nasib tidak menyebelahi saya nak pakai,” kata Che Manai yang menambah anak saudaranya itu dijaga sejak berumur 10 tahun.

Kisah 3 beradik itu mendapat perhatian Menteri Besar, Azlan Man yang menziarahi mereka bersama Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, semalam.

Tiga beradik yang tinggal sehelai sepinggang itu kini menumpang sementara di bengkel kraftangan mereka bersebelahan tapak rumah yang terbakar sepenuhnya.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu, Azlan berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membina semula rumah untuk 3 beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Noor Mushar Mohamad berkata, pihaknya sudah menahan anak saudara 3 beradik itu yang mengaku membakar rumah berkenaan dan kini direman 4 hari mulai semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.