
Kedaulatan negara tetap utuh, meskipun Malaysia bukanlah kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia mahupun China.
Malah, Malaysia salah sebuah negara anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Persatuan Negara Asia Tenggara (Asean) yang terletak di dalam zon aman, bebas dan berkecuali (Zopfan).
Sejarah membuktikan Malaysia bijak berdiplomasi dengan negara lain sekiranya berdepan konfrontasi kerana Malaysia tidak gemar menyelesaikan masalah dengan cara kekerasan atau perang. Bagaimanapun, ini tidak bermakna Malaysia sebuah negara lemah yang boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
Ucapan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Dialog Shangri-La di Singapura pada 1 Jun lalu yang “kita tidak mampu mengejar kapal perang China” mengundang pelbagai reaksi rakyat Malaysia.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mungkin mempunyai pendapat berbeza. Namun, seorang menteri atau pegawai kerajaan tidak patut menyatakan secara terbuka dan langsung atau tidak langsung tentang kelemahan keupayaan pertahanan negara.
Kenapa perlu menceritakan kelemahan negara di mata dunia? Sebaliknya, kelemahan ini perlu ditutup dengan menonjolkan keupayaan negara dalam berdiplomasi.
Sejak zaman kesultanan Melayu Melaka di abad ke-15, cara diplomasi digunakan pemerintah kesultanan dalam mengembangkan empayarnya melalui persahabatan dengan Dinasti Ming di China, sekaligus berjaya melebarkan wilayahnya sehingga melewati batas moden Semenanjung Malaysia pada hari ini.
Walaupun Melaka akhirnya dijajah pada 1511 oleh Portugis, kemasyhuran dan kegemilangan kesultanan Melayu Melaka sehingga kini dijadikan semangat untuk warga Malaysia berbangga dengan sejarah silamnya.
Sewaktu kesultanan Kedah diserang Siam pada 1821, Kedah dijajah dan kekal di bawah pemerintahan Siam dan ditukarkan nama kepada Syburi. Cara diplomasi digunakan pemerintah Kedah untuk mendapatkan semula takhta.
Akhirnya, Siam menyerahkan semula tampuk pemerintahan kesultanan Kedah kepada Sultan Abdul Tajuddin Halim Syah II pada 1842. Jika tidak kerana cara diplomasi ini, wilayah utara negara kita pada hari ini akan berakhir di Pulau Pinang dan Kedah akan menjadi milik Thailand.
Ketika negara jiran berperang untuk mendapatkan kemerdekaan, Persekutuan Tanah Melayu merdeka menggunakan cara diplomasi untuk bebas daripada penjajahan British pada 1957.
India dan Pakistan yang juga jajahan British berperang dengan dahsyat pasca kemerdekaan 1945 dan kesannya boleh dilihat sehingga kini.
Lain pula bagi negara kita. Pada 1963, Persekutuan Tanah Melayu disatukan dengan Sabah, Sarawak dengan Singapura dengan aman melalui kaedah pungutan suara dan diplomasi.
Singapura juga dipisahkan daripada Malaysia dengan cara aman – walaupun terdapat pertelingkahan kaum di Singapura pada 1964, ianya tidaklah mencapai tahap keganasan yang berlaku di Pakistan dan India pada 1945.
Tidak seperti Pakistan dan India, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan baik sejak 1965.
Malaysia berkembang pesat selepas kemerdekaan dan mencapai pelbagai kejayaan. Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia merupakan salah sebuah negara yang ekonominya paling kompetitif di dunia pada 2018.
Selain itu, pasport Malaysia juga diiktiraf Indeks Pasport Global antara terbaik di dunia sehingga kini – petunjuk reputasi negara di mata dunia adalah cemerlang.
Selain itu, Malaysia juga kekal antara 25 negara paling aman di dunia oleh Indeks Pasport Global pada tahun 2018. Kuala Lumpur juga merupakan bandar raya ke-7 paling dikunjungi di dunia tahun lalu, jelas menunjukkan Malaysia adalah destinasi yang menarik, selamat dan tenteram.
Sekiranya Malaysia tidak berupaya menjaga kedaulatannya, mempertahankan sempadannya dan memelihara keutuhan wilayah maritimnya, mana mungkin Malaysia mampu mengecapi semua kejayaan ini?
Malaysia Baru sudah melewati tempoh lebih setahun. Rakyat Malaysia mahukan perubahan supaya Malaysia menjadi lebih baik daripada pemerintahan terdahulu.
Mat Sabu tidak seharusnya menceritakan kelemahan pertahanan negara secara terang-terangan. Tetapi, ucapannya mengenai Malaysia sebagai sebuah negara berdiplomasi adalah tepat dan relevan untuk menjelaskan pendirian hubungan luar Putrajaya.
Mungkin tiba waktu untuk menteri kita mempertimbangkan untuk berbicara dalam bahasa Melayu dalam forum antarabangsa sekiranya penguasaan bahasa kebangsaan mereka lebih baik daripada bahasa Inggeris.
Ini penting kerana bahasa cuma alat, tetapi mesej yang disampaikan itu lebih penting bagi menyuarakan hasrat negara.
Sejarah membuktikan kita masih mampu menjadi negara hebat dan “masih mampu mengejar kapal perang China”, asalkan bijak berdiplomasi dan berhubungan baik di peringkat antarabangsa.
Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang Universiti Far Eastern Federal di Vladivostok, Rusia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.