
Dalam satu kenyataan di Facebook, Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam.
“Sehubungan itu, laporan rasmi dibuat kepada SKMM untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” kata kenyataan itu.
Pejabat itu juga turut berkongsi tangkap layar hantaran media sosial yang memaparkan gambar Mohamad bersama pokok ganja dengan tulisan ‘Mat Sabu cadang penjawat awam tanam ganja di rumah susulan konflik di Asia Barat’.
Pengguna media sosial itu juga turut meletakkan peringatan bahawa penanaman dan penggunaan ganja adalah dilarang di bawah Akta Dadah Bahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman penjara, sebatan dan denda.
Mohamad pada bulan lalu pernah membuat kenyataan menggalakkan penjawat awam supaya memulakan tanaman sayur di rumah sebagai langkah menambah bekalan makanan domestik sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.