Latheefa pernah heret SPRM ke mahkamah

Latheefa pernah heret SPRM ke mahkamah

Mahkamah Persekutuan memutuskan dia dan seorang lagi peguam perlu memberikan keterangan kepada SPRM bagi tujuan siasatan kes NFCorp.

Latheefa Koya.
PETALING JAYA:
Sungguh ironik apabila Latheefa Koya, yang pernah mengheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah, kini mengetuai badan anti-rasuah itu.

Latheefa dan seorang lagi peguam, Murnie Hidayah Anuar, mencabar notis SPRM meminta mereka memberikan keterangan bagi membantu siasatan ke atas kes National Feedlot Corporation (NFCorp).

Mereka adalah peguam mewakili bekas penasihat NFCorp, Shamsubahrin Ismail dan menemaninya ke pejabat SPRM untuk diambil keterangan.

Kemudiannya pada 19 Mac 2012, SPRM mengeluarkan notis memaksa Latheefa dan Murnie ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk diambil keterangan dan membantu siasatan melibatkan Pengerusi Eksekutif NFCorp, Mohamad Salleh Ismail.

Mereka enggan dan mencabar notis itu.

Latheefa dan Murnie berhujah notis itu tidak sah dan menyalahi peruntukan peruntukan-peruntukan bawha Perkara 5(2) Perlembagaan Persekutuan.

Di Mahkamah Tinggi, Hakim Zaleha Yusof memutuskan notis tersebut tidak sah dan suatu salah guna kuasa. Beliau juga memutuskan pegawai-pegawai SPRM tiada kuasa untuk merakam keterangan daripada peguam yang menemani anak guam.

Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 9 Ogos 2017, panel hakim 5 anggota di Mahkamah Persekutuan memutuskan notis itu tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Kes itu menetapkan suatu prinsip undang-undang yang sering dirujuk peguam dalam kes sivil dan jenayah.

Hakim Abu Samah Nordin ketika itu berkata SPRM tidak boleh menjalankan siasatan jika kerja-kerjanya dicabar melalui semakan kehakiman.

“Notis itu sah dan tidak perlu semakan kehakiman,” kata Abu Samah.

Beliau berkata Parlimen tidak mungkin berniat untuk menghalang agensi penyiasatan seperti SPRM menjalankan kerja-kerja mereka.

Panel diektuai Hakim Besar Malaya, Ahmad Maarop, kini presiden Mahkamah Rayuan.

Hakim lain adalah Richard Malanjun, ketua hakim negara yang sudah bersara, yang pada ketika itu adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, dan Hakim Hasan Lah dan Balia Yusof Wahi, yang tidak lagi berkhidmat.

Abu Samah berkata Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menyatakan orang yang ditangkap hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihanya.

Beliau berkata hak itu hanya diberikan kepada seorang suspek dan bukan seorang saksi. Dalam kes itu, katanya, peguam hanya dipanggil sebagai saksi.

Bercakap kepada pemberita selepas keputusan itu, Latheefa berkata keputusan itu nampaknya sudah menjejaskan peranan peguam, termasuk menemani anak guam ketika disoal pegawai penyiasat.

Kegagalan mematuhi notis itu suatu kesalahan bawah Seksyen 48(c) Akta SPRM yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.