Saya tak perlu tanya Kabinet, Dr M jawab isu lantikan Latheefa

Saya tak perlu tanya Kabinet, Dr M jawab isu lantikan Latheefa

Perdana menteri mengesahkan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM tidak dibincangkan dengan jemaah menteri.

PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat tanpa perbincangan dengan jemaah menteri, selepas beberapa menteri berkata mereka tidak tahu sehinggalah diumumkan Pejabat Perdana Menteri semalam.

“Saya tidak bincang dengan Kabinet. Biasanya saya membuat keputusan sendiri kerana saya tidak perlu tanya Kabinet siapa yang saya luluskan,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Ditanya mengenai proses pelantikan dan pembuat keputusan, Mahathir menjawab dia “mendengar banyak pihak dan kemudian saya buat keputusan”.

Menjelaskan pemilihan Latheefa, seorang peguam yang tiada rekod prestasi dalam memerangi rasuah, Mahathir berkata penilaiannya mengambil kira karakter seseorang.

Perdana menteri berkata dia mencari seseorang yang sangat berterus-terang, tidak takut menyatakan pandangan dan tidak mudah dipengaruhi orang lain.

“Latheefa sangat tegas. Dia akan bercakap benar dan berterus-terang. Kita perlukan seseorang yang mempunyai karakter yang kuat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution mengesahkan mereka tidak dimaklumkan tentang perkara itu.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020. Beliau dilantik untuk tempoh kontrak selama 2 tahun, berkuatkuasa 1 Jun.

Pemilihan Latheefa mengundang kritikan daripada ramai pihak kerana sejarah politiknya. Bekas presiden Transparency International-Malaysia, Akhbar Satar berkata pelantikan seorang ahli politik akan menjejaskan kebolehpercayaan SPRM.

Latheefa menghantar perletakan keahlian PKR kelmarin berkuatkuasa serta-merta apabila diberitahu akan dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki semalam berkata sejak Badan Pencegah Rasuah ditubuhkan pada 1967 dan kemudian SPRM pada 2009, 10 daripada 13 ketuanya, termasuk Latheefa, adalah orang dari luar badan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.