
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata Akta SPRM menyatakan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seorang ketua pesuruhjaya, yang dari segi teknikal memberikan budi bicara penuh kepada perdana menteri untuk memilih calon pilihannya ke jawatan itu.
“Bagaimanapun, sebab janji 14 dalam manifesto Pakatan Harapan itu untuk memastikan semak dan imbang, dan ketelusan dalam pelantikan seperti itu melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam.
“Tujuan jawatankuasa itu jadi sia-sia jika pelantikan dibuat secara unilateral tanpa merujuk kepada jemaah menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramkarpal mengingatkan pelantikan boleh dibuat secara unilateral juga membayangkan pemecatan juga boleh dibuat secara unilateral.
“Sebab itu rundingan perlu diadakan dengan semua pihak, terutama sekali jemaah menteri, kerana ia penting bagi mengelakkan persepsi yang mungkin timbul akibat pelantikan atau pemecatan unilateral,” katanya.
Mengulas kenyataan Menteri Undang-undang Liew Vui Keong hari ini bahawa pelantikan Latheefa sejajar undang-undang, Ramkarpal berkata Liew nampaknya masih belum faham perkara yang ditimbulkan.
Ramkarpal menegaskan cara pegawai dilantik juga harus ditekankan bagi memupuk keyakinan orang ramai terhadap pelantikan itu.

“Liew nampaknya tidak faham bahawa isunya bukanlah mengenai kesahan pelantikan Latheefa tetapi sama ada pelantikan unilateral, tanpa merujuk jemaah menteri dan PSC, sejajar dengan reformasi yang dijanjikan PH sebelum berkuasa.
“Pelantikan unilateral bukan sebahagian demokrasi yang sihat dan tidak sepatutnya berlaku, tanpa mengira kualiti orang yang dilantik,” katanya.
Latheefa, seorang peguam, menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020. Shukri sebelum ini memaklumkan kepada perdana menteri bahawa dia mahu berundur selepas 1 tahun berkhidmat.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah berkata Mahathir juga tidak merujuk PSC semasa beliau menasihatkan Agong mengenai pelantikan ketua hakim negara dan ketua polis negara.
“Sesetengah orang yang menimbulkan isu itu sekarang tidak ada masalah dengan pelantikan-pelantikan itu,” katanya di Twitter.

Sivarasa mempersoalkan sama ada peranan kawalan PSC, berkenaan pelantikan jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam, perlu suatu bentuk undang-undang.
“Kuasa melantik ketua hakim negara, ketua polis negara dan ketua pesuruhjaya SPRM termaktub dalam undang-undang. Majlis presiden PH perlu bincangkan perkara ini dengan lebih terperinci,” katanya.
Sivarasa berkata pelantikan Latheefa memberikan mesej kepada SPRM dan institusi-institusi lain bahawa keadaan sekarang bukan lagi seperti sebelum ini.
“SPRM perlu menunjukkan lebih banyak hasil dalam perang melawan rasuah dan perlunya pemimpin-pemimpin baru yang berani dan berintegriti.”