Langkah Perkeso perangi orang ke-3 dalam tuntutan pencarum tepat, kata MTUC

Langkah Perkeso perangi orang ke-3 dalam tuntutan pencarum tepat, kata MTUC

Perkeso mempunyai sumber tenaga dan kakitangan yang berdedikasi dan sudah memadai bagi mengendalikan urusan tuntutan.

Perkeso akan memperkenalkan sistem dalam talian menjelang penghujung 2019 bagi mengekang sindiket dan pihak ke-3 membuat tuntutan palsu bagi pihak pencarum. (Facebook pic)
PUTRAJAYA:
Langkah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memerangi penglibatan orang tengah atau orang ke-3 bagi menguruskan tuntutan pencarum adalah selaras dengan aspirasi badan itu untuk membantu golongan yang betul-betul memerlukan.

Timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) A Balasubramaniam berkata, penglibatan orang tengah yang menjadi lintah darat akan mengambil kesempatan mengaut keuntungan daripada kesusahan pencarum.

“Perkeso sememangnya mempunyai sumber tenaga dan kakitangan yang berdedikasi dan ia sudah memadai bagi mengendalikan urusan tuntutan.

“Malahan pejabat Perkeso sememangnya ada di bandar utama dan pegawainya boleh melakukan lawatan ke kawasan kampung sekiranya ia melibatkan kawasan luar bandar bagi mengesahkan kes yang dianggap tulen,” katanya.

Balasubramaniam mengulas satu laporan akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang memetik ketua pegawai eksekutif Perkeso, Mohamad Azman Aziz Mohammed sebagai berkata, badan itu akan memperkenalkan sistem dalam talian menjelang penghujung 2019 sebagai usaha mengekang sindiket dan pihak ke-3 membuat tuntutan palsu bagi pihak pencarum.

Mohamad Azman berharap sistem dalam talian untuk tuntutan itu akan menghalang campur tangan daripada pihak ke-3.

Balasubramaniam berkata, sistem dalam talian yang dicadangkan itu perlu diperkenalkan dan diamalkan segera bagi manfaat dan kebaikan pencarum.

“Perkeso juga perlu memudahkan kaedah tuntutan pencarum yang mempunyai dokumen berkaitan dan disahkan oleh doktor yang bertauliah,” katanya.

Beliau turut menggesa Perkeso mengekalkan pendaftaran persendirian (ke pejabat) di samping pendaftaran menerusi laman web bagi manfaat pekerja sebab bukan semua mengetahui cara penggunaan internet dan sebagainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.