Tindakan kerajaan terus saman tuntut NFCorp bayar balik pinjaman pelik, kata Najib

Tindakan kerajaan terus saman tuntut NFCorp bayar balik pinjaman pelik, kata Najib

Pengerusi NFCorp Mohamad Salleh Ismail mempersoalkan saman sivil yang difailkan oleh kerajaan dengan berkata, syarikat menawarkan untuk membayar kesemua pinjaman 7 bulan lepas.

Pengerusi NFCorp Mohamad Salleh Ismail bersama isterinya, bekas menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Najib Razak menyifatkan langkah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak memberi kelulusan kepada pembeli baru untuk mengambil alih projek National Feedlot Corporation (NFC) sebagai pelik.

Najib berkata, kerajaan sebaliknya mengambil tindakan untuk meneruskan saman sivil menuntut syarikat NFCorp membayar balik seluruh pinjaman yang dibuat.

“Akhirnya syarikat NFC berjaya mencari pembeli baru dan telah menulis kepada kerajaan meminta kelulusan untuk pihak baru ini mengambil alih projek.

“Pembeli baru ini dikatakan mempunyai kekuatan kewangan serta pelan menyeluruh untuk meneruskan dan menjayakan projek NFCorp. Tetapi, menteri kewangan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu memberi kelulusan,” katanya di laman Facebook.

Najib berkata, pinjaman sebanyak RM250 juta diberikan kepada NFCorp pada 2006 bagi membiayai pembinaan dan kos operasi sebuah pusat penternakan lembu di Gemas, Negeri Sembilan.

Katanya, selepas menerima pinjaman tersebut NFCorp berdepan masalah melaksanakan projek berkenaan berikutan kelewatan penyempunaan infrastruktur sokongan projek oleh Kementerian Pertanian ketika itu.

Berikutan itu katanya, NFCorp mengambil keputusan melaburkan sebahagian wang pinjaman dalam beberapa pelaburan dalam usaha menjana pendapatan bagi membayar faedah pinjaman, walaupun langkah itu bertentangan dengan terma pinjaman.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional pernah menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula pinjaman RM250 itu, tetapi tidak berbuat demikian kerana NFCorp memaklumkan bahawa mereka sedang berunding dengan syarikat tempatan dan antarabangsa untuk mengambil alih projek berkenaan, selain membayar balik pinjaman beserta faedah.

Pada 3 Jun, Putrajaya memfailkan saman bagi menuntut wang sebanyak RM253.6 juta yang dipinjamkan kepada NFCorp yang diuruskan oleh suami dan 3 anak bekas menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Shahrizat Abdul Jalil.

Mahkamah menetapkan 17 Jun depan bagi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom.

Pada 22 Mei, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) berkata, ia mahu isu NFCorp diselesaikan dengan segera kerana melibatkan kepentingan awam.

Menterinya, Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, sudah ada sebuah syarikat yang berminat untuk membeli NFCorp dalam masa terdekat.

Najib berkata, tindakan kerajaan meneruskan saman boleh dianggap pelik jika niat dan keutamaannya adalah untuk mendapatkan balik dana tersebut dan menjayakan projek.

Bagaimanapun kata beliau, DAP tahu bahawa nilai propaganda mengenai NFCorp adalah jauh lebih tinggi untuk politik mereka, berbanding dana RM250 juta terbabit atau kejayaan projek itu.

“Hampir 9 tahun, DAP menyebarkan propaganda dengan menipu bahawa RM250 juta ini disonglap oleh Najib dan digunakan untuk membeli kondo untuk ‘simpan lembu’.

“Oleh itu, amat sukar untuk DAP mengaku kepada penyokong mereka bahawa dana ini bukan disonglap, tetapi suatu pinjaman di mana peminjam sudah pun mahu membayar balik keseluruhannya, termasuh kos faedah,” katanya.

Najib berkata memandangkan keadaan itu, Lim terpaksa mengambil tindakan mahkamah terhadap NFCorp serta menolak pembayaran balik pinjaman serta rancangan meneruskan projek bagi meningkatkan bekalan daging lembu tempatan

“Walaupun bukan saya yang meluluskan pinjaman RM250 juta kepada syarikat NFC, nama saya sering dikaitkan dengan isu ini yang dijadikan antara propaganda utama PH selama 9 tahun.

“Pinjaman ini diluluskan Muhyiddin Yassin sebagai menteri pertanian pada tahun 2006, iaitu sebelum saya menjadi menteri kewangan atau perdana menteri.

“Perlu ingat bahawa ini adalah pinjaman RM250 juta, ia bukan geran percuma,” katanya.

Sebelum ini, pengerusi NFCorp Mohamad Salleh Ismail mempersoalkan saman sivil yang difailkan oleh kerajaan bagi menuntut bayaran balik pinjaman dengan berkata, syarikat menawarkan untuk membayar kesemua pinjaman 7 bulan lepas.

Tuntutan berjumlah RM253.62 juta terhadap NFCorp dan keluarga Salleh mewakili jumlah pinjaman kerajaan serta faedah 2% setahun dan faedah ingkar ke atas RM224.77 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.