KDN bakal laksana pelan holistik penguatkuasaan atasi kebanjiran PATI

KDN bakal laksana pelan holistik penguatkuasaan atasi kebanjiran PATI

Pelan itu melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi serta melibatkan peranan kerajaan negeri, PBT dan MPKK/JKKK.

Seramai 23,295 PATI diambil tindakan undang-undang dan daripada jumlah itu, warga Indonesia merupakan PATI yang paling ramai ditangkap.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat satu pelan holistik penguatkuasaan bagi mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara ini.

Menterinya, Muhyiddin Yassin berkata pelan itu merupakan strategi penguatkuasaan yang komprehensif, menyeluruh sebagai langkah memperkukuh tadbir urus dan menambahbaik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada.

“Ini melibatkan kerjasama secara strategik pelbagai kementerian dan agensi serta melibatkan peranan kerajaan negeri, PBT dan MPKK/JKKK bersama-sama membantu secara aktif dalam membanteras PATI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata objektif pelan itu adalah mewujudkan satu ekosistem yang tidak selesa kepada PATI dalam meneruskan kehidupan seharian mereka melalui pendekatan mendayaupaya agensi penguatkuasa.

Beliau berkata, pelan itu juga bagi mengawal selia termasuk meningkatkan kerjasama strategik dan kesedaran masyarakat setempat.

“Pelan holistik penguatkuasaan PATI ini akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun,” katanya.

Muhyiddin berkata pelan itu juga menggariskan 5 strategi iaitu strategi operasi penguatkuasaan PATI berkaitan operasi penguatkuasaan membanteras PATI di seluruh negara.

Katanya, strategi seterusnya bagi perundangan dan dasar penguatkuasaan PATI dan penyelarasan dasar berkaitan penguatkuasaan PATI.

“Ketiga, strategi kawalan sempadan dan pintu masuk, strategi pengurusan warga asing dan strategi media dan publisiti,” katanya.

Muhyiddin berkata strategi yang digariskan dalam pelan holistik penguatkuasaan PATI itu berlunaskan bidang yang dikenal pasti bersesuaian dengan peranan agensi yang terlibat.

Beliau menambah seramai 23,295 orang PATI diambil tindakan undang-undang dan daripada jumlah itu, warga Indonesia merupakan PATI yang paling ramai ditangkap iaitu 8,011 (34%) dan diikuti Bangladesh seramai 5,272 (23%) dan bakinya adalah warga Myanmar, Filipina, Thailand dan lain-lain.

“Dalam tempoh 5 bulan (1 Januari hingga 1 Jun 2019) juga, seramai 26,116 orang PATI diusir ke negara asal,” katanya.

Muhyiddin berkata dalam tempoh yang sama seramai 605 orang majikan telah diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.