Heret lelaki dalam klip video seks ke Mahkamah Syariah, kata PAS

Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa ahli dan pemimpin PAS tidak menyebarkan klip video seks sejenis didakwa membabitkan lelaki mirip seorang menteri kerana ia adalah perkara tidak bermanfaat.

PETALING JAYA: PAS hari ini meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengheret individu yang mengaku terbabit dalam klip video seks sejenis didakwa membabitkan lelaki mirip seorang menteri kanan ke Mahkamah Syariah.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man merujuk pengakuan Muhammad Haziq Aziz yang juga setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin, terbabit dalam beberapa klip video seks yang tersebar luas sejak semalam.

Beliau turut menggesa ahli dan pemimpin parti Islam itu tidak menyebarkan rakaman video berkenaan.

“Sebagai seorang Muslim, sikap kita tetap konsisten dengan apa yang syarak pandu, agar tidak membuat tuduhan (qazaf) melainkan kita melihatnya.

“PAS menggesa agar seluruh kepimpinan dan ahli menumpukan kepada perkara yang memberi manfaat kepada ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Haziq dalam video selama 30 saat yang dimuat naik 3 pagi tadi menamakan menteri itu ialah pemimpin kanan PKR dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat lelaki terbabit.

Katanya, kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points, Sandakan, ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu baru-baru ini.

Hari ini, Tuan Ibrahim berkata, PAS sepatutnya membantu menyelesaikan pelbagai isu ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat, bukannya menghabiskan masa dan tenaga dalam perkara tidak bermanfaat.

“Perkukuhkan jentera parti, perkasakan ukuhwah jamaah dan jaga hubungan dengan Allah, agar Allah pelihara kita daripada fitnah media sosial yang semakin tidak beradab.”