Haziq Aziz ditangkap di KLIA

Haziq Aziz. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menangkap Haziq Aziz yang mengaku dirinya dalam video seks sejenis mirip menteri yang tersebar di WhatsApp baru-baru ini.

Peguamnya, Ramesh Sivakumar berkata Haziq ditangkap polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) petang tadi semasa mahu berlepas.

Ramesh memaklumkan satu pasukan polis membawa Haziq ke Bukit Aman disoal.

“Saya tak tahu adakah dia seorang suspek atau saksi dalam siasatan itu,” katanya kepada FMT.

“Kalau dia seorang suspek, polis mesti bawa dia ke majistret esok pagi untuk penahanan lanjut bagi melengkapkan siasatan.”

Ramesh dalam perjalanan ke Bukit Aman.

Beliau mendedahkan polis di Sepang keberatan untuk mendedahkan kes dikelaskan bawah peruntukan undang-undang yang mana kerana terdapat beberapa laporan polis.

Pada Rabu, Haziq, seorang pegawai kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin, mendakwa dirinya terbabit dalam satu video seks sejenis, dan menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali sebagai pasangannya.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kes video seks sejenis itu.

Katanya, polis akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes itu dan mereka yang menyebarkan video itu boleh dikenakan tindakan.

Terdahulu, sumber berkata, bapa Haziq, Abdul Aziz Ibrahim memfailkan laporan orang hilang semalam, selepas mereka gagal mengesan kedudukannya.

Difahamkan, barang milik Haziq sudah dikeluarkan dari pangsapurinya di Kuala Lumpur.

Disebabkan itu, sumber berkata, keluarga Haziq yang bimbang dengan keselamatannya bertindak membuat laporan polis.

Katanya, Haziq menghubungi bapanya Selasa lalu untuk memaklumkan beliau akan ke Perancis kerana tugasnya.

Tetapi, keluarga Haziq terkejut apabila melihat rakaman pengakuannya mengadakan hubungan seks sejenis dengan individu didakwa mirip seorang menteri kanan.

Sumber yang rapat dengan Haziq dan keluarganya berkata, lelaki dalam video pengakuan itu tidak serupa Haziq disebabkan perbezaan dari segi muka dan badannya.