
Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda, berkata tangkapan melibatkan suspek berusia 30 hingga 50-an selain sebatang besi dirampas dalam kejadian 6.45 petang.
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan kes penderaan kira-kira 11.55 malam pada 14 Dis dipercayai berlaku di sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu, melibatkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa.
Kasim berkata, bertindak atas maklumat diterima, polis membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan semalam bagi membantu siasatan kes kecederaan dan penderaan kanak-kanak.
“Namun, ketika sepasukan pegawai polis sedang menjalankan tugas menangkap suspek bagi membantu siasatan semalam, beberapa individu telah bertindak menghalang kenderaan polis.
“Mereka juga mengeluarkan kata-kata kesat, cuba membuka pintu kenderaan serta menendang dan memukul kenderaan sehingga menjejaskan tugas polis,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.