Irfan raih emas lempar cakera, padam rekod 26 tahun Sukan SEA

Irfan raih emas lempar cakera, padam rekod 26 tahun Sukan SEA

Lemparan sejauh 60.23m pada percubaan kedua mengesahkan pingat emas sekali gus cipta rekod baharu temasya.

Ini merupakan emas peribadi ketujuh berturut-turut Muhammad Irfan Shamsuddin sejak mula mendominasi acara itu pada edisi 2013 di Myanmar. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Jaguh lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin berada dalam kelas tersendiri selepas merangkul pingat emas sambil mencipta rekod baharu temasya pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Suphachalasai, hari ini.

Ini merupakan emas peribadi ketujuh berturut-turut Irfan sejak mula mendominasi acara itu pada edisi 2013 di Myanmar.

Lebih manis, pada edisi kali ini, atlet kelahiran Negeri Sembilan itu akhirnya berjaya memadam rekod temasya 59.50m yang bertahan selama 26 tahun, dicipta Wong Tuck Yim dari Singapura pada edisi 1999 di Brunei.

Dalam saingan hari ini, lemparan sejauh 60.23m pada percubaan kedua sudah memadai untuk Irfan mengesahkan pingat emas, sekali gus mencipta rekod baharu temasya.

Atlet Thailand Srisai Kiadpradid meraih perak dengan catatan 53.82m, manakala gangsa menjadi milik atlet Filipina, Ricaforte Russel Je, yang merekodkan 53.34m.

Sementara itu, hasrat seorang lagi atlet negara Jonah Chang Rigan untuk menempatkan diri di podium tidak kesampaian apabila menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 50.63m.

Kejayaan Irfan turut menyumbang kepada emas kelima skuad olahraga negara, selepas Grace Wong dalam acara baling tukul besi wanita, Jonah (lontar peluru lelaki), Nani Sahirah Maryata (lontar peluru wanita) dan Andre Anura dalam acara lompat jauh lelaki.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.