
Teo berkata isu berkenaan, berupaya dibendung sekiranya permainan dalam talian mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk golongan tersebut.
Katanya, cadangan itu antara yang dibincangkannya bersama Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Farah Nini Dusuki, baru-baru ini, lapor Bernama.
“Tindakan larangan itu (hanya) melarang mereka (kanak-kanak) agar langsung tidak boleh main (permainan dalam talian), mungkin itu bukan cara yang paling bagus.
“Tetapi, bagaimana kita hendak pastikan bahawa platform itu selamat, adalah dengan memastikan bahawa ada ciri keselamatan,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu program di Kulai, Johor.
Beliau mengulangi komitmen kementeriannya untuk membendung isu itu, menerusi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk penyedia platform permainan dalam talian, aktivitis dan badan bukan kerajaan.
Pada 27 Okt, seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, cedera parah selepas dikelar abangnya yang berumur sembilan tahun, yang dipercayai dipengaruhi oleh permainan dalam talian.
Siasatan polis mendapati kanak-kanak yang mengelar leher adiknya itu bermain Roblox tanpa kawalan.
Bulan lalu, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk mengharamkan Roblox berikutan kebimbangan semakin meningkat mengenai isu keselamatan dan pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kemudian berkata Roblox telah beri jaminan bahawa ia akan meningkatkan langkah keselamatan di platformnya melalui penggunaan kecerdasan buatan dan pemantauan manusia, serta bekerjasama dengan kerajaan, khususnya dalam perkongsian data dan pematuhan terhadap peraturan negara.