Tentera rampas dadah lebih RM10 juta di Kuala Nerang

Tentera rampas dadah lebih RM10 juta di Kuala Nerang

Pasukan keselamatan menemui sembilan guni berisi bungkusan kecil menyerupai peket beras dipercayai dadah.

Dadah dirampas sekitar 1.2km dari Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah pada 9 Dis susulan penahanan lelaki warga Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan. (Gambar TDM)
PETALING JAYA:
Tentera darat merampas dadah bernilai lebih RM10 juta yang cuba diseludup susulan tangkapan seorang lelaki warga Thailand, sekitar 1.2km dari Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata, kejayaan itu dicapai melalui tindakan pantas kumpulan serbuan dan tangkapan (Serkap) 4 Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) pada 9 Dis ketika melaksanakan operasi di Zon Utara bawah tanggungjawab Briged ke-6 Infantri.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh di sepanjang laluan yang dipercayai digunakan suspek itu, pasukan berkenaan menemukan sembilan guni berisi bungkusan kecil menyerupai peket beras, dipercayai dadah diseludup dari negara jiran.

Menurut Utusan Malaysia, kejayaan menyekat cubaan penyeludupan dadah masuk dadah itu menjadikan ia rampasan terbesar tahun ini.

“Kira-kira 4.30 pagi, pasukan Serkap yang diketuai Kapten Muhammad Zulharif Abdul Rahim bersama lima anggota dari Platun 6, 4 RRD menahan seorang lelaki warga Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi kira-kira 1.2km dari Kem Sahara, Kuala Nerang, Kedah.

“Pemeriksaan terhadap suspek menemui beberapa peralatan termasuk sebuah walkie-talkie, sebilah parang, satu beg pinggang, dan lampu suluh,” menurut laporan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.