
Anwar yang berada di republik itu bagi menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12, menegaskan apabila rakyat Malaysia berdepan prosiding undang-undang di luar negara, termasuk di Singapura, Malaysia sentiasa menghormati proses undang-undang dijalankan dan kebebasan kehakiman negara berkenaan.
Beliau berkata, Malaysia tetap tegas dalam pendiriannya menentang kesalahan dadah walaupun negara telah meminda undang-undang berkaitan hukuman mati mandatori.
“Ancaman dadah ialah satu masalah di Malaysia. Kami secara tradisinya mengambil pendirian yang sangat tegas, walaupun kami telah meminda isu hukuman mati mandatori,” katanya menurut Bernama pada sidang media bersama rakan sejawatannya, Lawrence Wong.
Anwar berkata, sebarang representasi oleh Malaysia dalam kes sedemikian adalah semata-mata menyampaikan kebimbangan keluarga terjejas dan tidak boleh disalah anggap toleransi terhadap kesalahan dadah.
“Saya tidak boleh memberikan sebarang petunjuk bahawa kami bertolak ansur atau membenarkan perdagangan dadah. Kami juga mengambil pendirian yang sangat tegas terhadap isu ini,” katanya.
Sementara itu, Wong mengulangi pendekatan tegas Singapura terhadap jenayah berkaitan dadah.
Beliau berkata, dasar antidadah Singapura bertujuan untuk memastikan persekitaran yang selamat di mana keluarga dan kanak-kanak kekal dilindungi daripada bahaya dan akibat sosial dadah.
“Kami berharap semua negara memahami rasional pendirian kami yang kukuh dan menghormati cara kami menjalankan dasar kami dalam bidang ini,” tambahnya.
Anwar dan Wong mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala, termasuk di bawah rangka kerja sedia ada yang bertujuan memerangi pengedaran dadah rentas sempadan dan rangkaian jenayah berkaitan.