
Permainan tersebut, Move People, melibatkan pemain mengawal watak lelaki dan perempuan dalam interaksi yang digambarkan oleh si ibu sebagai ‘memang tidak boleh langsung untuk budak’.
Permainan itu membolehkan pemain mengawal pergerakan tangan dan kaki watak-watak, kadangkala menghasilkan senario seperti watak lelaki mengangkat watak perempuan atau watak perempuan duduk di atas watak lelaki.
Dalam satu catatan di Facebook, Anna Talita Nafrizon berkata dia ternampak anaknya bermain permainan itu di dalam kereta tetapi anaknya cepat-cepat memadam permainan itu.
“Aku naik hantu sungguh sebab dia boleh nak sorok-sorok. Tak cerita banyak aku terus bawa pergi balai polis. Niat nak gertak dia sebab lately dia memang kuat main telefon bimbit,” katanya.
Anna turut memuat naik video dua anggota polis secara berseloroh beritahu kanak-kanak itu bahawa dia terpaksa bermalam di lokap. Dia berterima kasih kepada mereka kerana mengendalikan situasi itu dengan baik.
“Setakat ini, telefon bimbit pun anak aku tak pegang langsung. Harap berpanjangan lah,” tambahnya.
Ibu ini memaklumkan bahawa dia selalu memeriksa peranti digunakan anaknya tetapi tidak pernah nampak permainan itu.
Anna berkata permainan itu baru dimuat turun, dan anaknya pun tidak memahami kandungan permainan tersebut.
Ibu ini juga menyeru ibu bapa untuk memantau anak-anak apabila mereka menggunakan peranti.
“Untuk ibu bapa yang ada anak, tolong lah pantau anak. Jangan biarkan anak-anak main telefon bimbit sendiri. Tengok apa yang anak muat turun,” katanya.
“Jaga anak sekarang sangat mencabar. Semoga anak kita Allah lindung.”
Catatan ini mencetuskan perbincangan mengenai keperluan mengawasi aktiviti kanak-kanak dengan lebih rapi, serta risiko akses kepada permainan mudah alih tanpa pengawasan.