
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata penggunaan telefon pintar untuk mendiamkan atau menenangkan anak bukan sahaja menjejaskan emosi dan sosial mereka, malah berisiko mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan tidak sesuai jika tidak dipantau sebaiknya.
“Malaysia sebenarnya telah mempunyai undang-undang dan peraturan berkaitan kawalan penggunaan peranti pintar dalam kalangan kanak-kanak, namun pelaksanaannya masih memerlukan pengukuhan melalui peningkatan kesedaran ibu bapa serta penglibatan pelbagai pihak.
“Isu ini bukan sekadar tentang teknologi, tetapi tentang perubahan budaya dalam mendidik anak-anak. Telefon tidak boleh dijadikan pengasuh. Ia harus digunakan secara terkawal dan berhemah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Karnival Sambutan Hari Kanak-kanak di Kampung Sempadi di sini hari ini.
Nancy berkata langkah diambil Australia dengan melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah turut menjadi rujukan, namun Malaysia tidak perlu menggubal undang-undang baharu kerana peruntukan sedia ada sudah mencukupi.
“Tumpuan kini adalah untuk memperkukuh penguatkuasaan dan mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam mengurus penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.