2 budak perempuan antara mangsa bunuh di Kuantan

2 budak perempuan antara mangsa bunuh di Kuantan

Insiden kira-kira 7 pagi tadi membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun selain ibu bapa serta nenek mereka.

Setakat 11.35 pagi, pasukan forensik masih berada di lokasi kejadian dan mayat mangsa belum dibawa keluar dari rumah teres setingkat itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kanak-kanak perempuan antara lima individu terlibat dalam kejadian bunuh di sebuah rumah di Lorong Cerating Damai, Kuantan, Pahang, hari ini.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata insiden kira-kira 7 pagi tadi membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 3 dan 4 tahun selain ibu bapa serta nenek mereka.

Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mayat suami isteri masing-masing berusia 32 dan 28 tahun bersama anak mereka ditemukan di dalam bilik, manakala mayat nenek kanak-kanak itu yang berusia 55 tahun dijumpai di ruang dapur.

Menurutnya, lelaki berusia 32 tahun dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri, lapor Bernama.

“Terdapat mangsa yang mempunyai kesan kelar dan kejadian itu disedari oleh adik lelaki suspek berusia 15 tahun yang berada di rumah itu ketika kejadian sebelum bertindak meminta bantuan.

“Siasatan awal turut mendapati lelaki itu baru sebulan berpindah menetap di rumah keluarganya selepas berhenti kerja di Selangor dan baru seminggu memulakan kerja di Kuantan,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan.

Setakat 11.35 pagi, pasukan forensik masih berada di lokasi kejadian dan mayat mangsa belum dibawa keluar dari rumah teres setingkat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.