Proses semula baja, kimia bersubsidi secara haram, 5 lelaki ditahan

Proses semula baja, kimia bersubsidi secara haram, 5 lelaki ditahan

Serbuan di sebuah kilang haram menemukan 47,000kg baja dengan nilai rampasan keseluruhan RM771,000.

Komander Briged Utara PGA Balveer Singh, berkata baja sebatian dan kimia bersubsidi itu diperoleh secara tidak sah, diproses semula dengan campuran lain bertujuan meningkatkan kuantiti untuk dijual semula. (Gambar PGA) 
PETALING JAYA:
Lima lelaki termasuk dua warga asing ditahan disyaki memproses semula baja sebatian serta kimia bersubsidi yang diperoleh secara tidak sah, sejak enam tahun lalu.

Turut dirampas pelbagai mesin dan jentera memproses baja, sebuah lori serta 47,000kg baja, keseluruhannya bernilai RM771,000 dalam serbuan menerusi Ops Khas Taring Bravo 3 di sebuah kilang di Tasek Gelugor, semalam.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Balveer Singh, berkata semua mereka termasuk seorang lelaki masing-masing warga Myanmar dan Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kilang itu telah menjumpai sejumlah besar kuantiti baja yang sedang diproses, beberapa jenis mesin dan jentera yang diguna pakai untuk pemprosesan.

“Hasil siasatan awal mendapati kilang haram itu telah beroperasi semenjak enam tahun lepas,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, modus operandi digunakan ialah baja sebatian dan kimia bersubsidi yang diperoleh secara tidak sah, diproses semula dengan campuran bahan lain bertujuan meningkatkan kuantiti serta akan dibungkuskan semula dengan bungkusan lain sebelum dijual dalam pasaran untuk kegunaan tanaman.

Balveer berkata, lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga warga tempatan berumur 34 hingga 51 tahun, seorang warga Indonesia dan warga Myanmar masing-masing berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

Katanya, kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dan pemilik kilang telah disiasat mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122].

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripadanya positif dadah jenis heroin dan mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua suspek warga asing disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, pemilik kilang juga disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan warga asing tanpa izin selain turut dikompaun oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Operasi itu, katanya, dijalankan secara bersepadu oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dengan kerjasama IPD Seberang Perai Utara, KPDN Pulau Pinang, dan MBSP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.