Budak 11 tahun lemas ketika mandi pantai

Budak 11 tahun lemas ketika mandi pantai

Ketika kejadian mangsa mandi bersama dua rakan.

boy drowning
Mangsa Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul ditemukan di pesisir pantai 10.26 malam tadi, tidak jauh dari lokasi kejadian. (Gambar Envato Elements)
KOTA TINGGI:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh, semalam.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Mohd Najib Sam, berkata mangsa Putra Aniq Fairuz Mohd Faizul ditemukan di pesisir pantai 10.26 malam tadi, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari berkaitan kejadian tiga kanak-kanak dilaporkan hilang ketika mandi di pantai tersebut sebelum operasi mencari dan menyelamat diaktifkan.

“Bagaimanapun dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan serta orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian dan operasi mencari seorang lagi mangsa diteruskan sehingga berjaya ditemukan malam tadi, sebelum disahkan meninggal dunia.

“Pelbagai agensi terlibat dalam operasi ini, iaitu polis, bomba dan Kementerian Kesihatan (KKM). Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menasihatkan orang ramai tidak mandi di pantai atau menjalankan aktiviti air sekiranya cuaca buruk, ombak kuat atau arus deras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.