Peguam: Fatwa hanya ‘pendapat ilmiah’, tidak boleh dicabar dari sudut undang-undang

Peguam: Fatwa hanya ‘pendapat ilmiah’, tidak boleh dicabar dari sudut undang-undang

SIS memohon untuk mengetepikan fatwa Mais pada 2014 yang menyebut bahawa kumpulan itu mengikut fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Peguam Mais, Yusfarizal Yusoff berkata, fatwa adalah pendapat ilmiah mufti dan tidak terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan semakan kehakiman terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) oleh kumpulan hak wanita Sisters in Islam (SIS) hari ini diberitahu bahawa fatwa hanyalah pendapat ilmiah yang tidak boleh disemak semula oleh mahkamah.

Peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Mais berkata, fatwa tidak terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri.’

“Fatwa hanyalah pendapat mufti berhubung prinsip Islam. Ia tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil,” kata beliau.

SIS memohon untuk mengetepikan fatwa Mais pada 2014 yang menyebut bahawa kumpulan itu mengikut fahaman liberalisme dan pluralisme agama serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mahkamah Persekutuan mengembalikan kes tersebut kepada Mahkamah Tinggi selepas mendapat persetujuan pihak terbabit, terutama SIS, jawatankuasa fatwa negeri, Mais dan kerajaan Selangor.

Persetujuan itu membolehkan pihak berkuasa agama membangkitkan apa-apa isu, termasuk persoalan sama ada Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes ang dibawa oleh SIS, pengasas bersama kumpulan itu Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri wilayah persekutuan Zaid Ibrahim.

Yusfarizal juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa pegawai agama negeri mempunyai bidang kuasa ke atas kumpulan itu kerana ia menggunakan perkataan “Islam” pada namanya.

“Perlembagaan syarikat menetapkan pengarahnya mestilah orang Islam,” tambah beliau.

“Walaupun syarikat tidak boleh menganut agama, tetapi elemen Islam tertulis padanya.”

Hujahan itu dibangkitkan oleh peguam SIS, Surendra Ananth, yang memetik penghakiman mahkamah sebelum ini yang menyebut bahawa sesebuah syarikat tidak boleh menganut sesuatu agama.

“Jawatankuasa fatwa bertindak di luar bidang kuasa untuk memaksakan fatwanya,” kata beliau.

Katanya, fatwa itu juga bercanggah dengan undang-undang persekutuan dengan mengarahkan rampasan dan pengharaman apa-apa item berkaitan SIS serta memberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menyekat laman web berkaitan liberalisme dan pluralisme agama.

“Hanya Kementerian Dalam Negeri boleh membuat arahan rampasan dan pengharaman item di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Nordin Hassan menetapkan 20 Ogos untuk keputusan.

Beliau juga mengarahkan SIS, kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri yang dinamalkan dalam guaman undang-undang itu supaya memfailkan penghujahan mengenai peruntukan dalam enakmen Islam negeri yang membenarkan Mahkamah Tinggi syariah di Selangor mendengar kes semakan kehakiman terhadap pihak berkuasa Islam.

Perintah itu dibuat selepas penasihat undang-undang negeri Masri Daud membangkitkan Seksyen 66A pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.