WhatsApp sekat talian hotline larangan merokok KKM

Larangan merokok dikenakan pada 1 Jan dengan denda sehingga RM10,000 atau penjara 3 tahun terhadap pelanggan dan pemilik premis yang gagal melaksanakan peraturan tersebut.

PETALING JAYA: Usaha kementerian kesihatan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang larangan merokok di restoran dan tempat awam sejak 6 bulan lalu kelihatan terhalang, selepas talian hotline yang diwujudkan untuk memudahkan aduan awam disekat aplikasi pesanan mesej popular WhatsApp.

Mesej yang dihantar ke nombor 60108608949 tidak sampai kepada nombor tersebut, tanpa tanda “double tick” pada aplikasi itu untuk menunjukkan ia telah diterima.

FMT difahamkan terdapat aduan mengenai privasi yang difailkan kepada WhatsApp yang mendorong pemilik aplikasi itu menyekat nombor tersebut.

“Pelanggaran privasi adalah sebahagian terma dan syarat WhatsApp. Kami kini sedang berunding dengan pakar undang-undang kami untuk melihat bagaimana kami dapat menyediakan saluran aduan ini melalui WhatsApp tanpa dituduh melanggar peraturan,” kata sumber di Kementerian Kesihatan kepada FMT.

FMT sedang menunggu maklum balas daripada WhatsApp.

Sebahagian dasar privasi WhatsApp seperti yang dinyatakan di laman webnya berbunyi: “Anda tidak akan menggunakan (atau membantu orang lain menggunakan) perkhidmatan kami dengan cara yang: (a) melanggar, menyalahi undang-undang, atau mencabuli hak WhatsApp, pengguna kami atau orang lain, termasuk privasi, publisiti, harta intelek, atau hak proprietari lain. ”

Talian hotline kementerian itu membolehkan orang ramai melaporkan individu yang merokok di tempat awam, termasuk restoran tertutup dan terbuka, yang diisytiharkan sebagai zon larangan merokok.

Orang ramai diberitahu untuk menghantar aduan mereka dengan gambar perokok yang sedang melakukan kesalahan tersebut dan lokasi kesalahannya.

Larangan merokok dikenakan pada 1 Jan, dengan denda sehingga RM10,000 atau penjara 3 tahun terhadap pelanggan dan pemilik premis yang gagal melaksanakan peraturan tersebut.

Di bawah peraturan ini, perokok hanya boleh merokok dari mana-mana restoran.

Kementerian Kesihatan telah melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di tempat-tempat makan sehingga akhir tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata lanjutan itu bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya merokok.