Peja nafi mesej WhatsApp kutuk PAS, dakwaan cuba porak-peranda PN

Peja nafi mesej WhatsApp kutuk PAS, dakwaan cuba porak-peranda PN

Naib presiden Bersatu dakwa perbuatan itu dibuat oleh bekas ahli parti terbabit.

Ahmad Faizal Azumu dan Jasri Jamaludin nafi kandungan mesej kandungan tangkap layar perbualan kumpulan sembang WhatsApp dipercayai disebarkan bekas ahli Bersatu.
PETALING JAYA:
Ahmad Faizal Azumu menafikan kandungan tangkap layar perbualan kumpulan sembang WhatsApp yang antaranya mendakwa beliau mengutuk sebuah parti komponen Perikatan Nasional (PN) dipercayai PAS sebagai biadap.

Dalam mesej disebarkan di media sosial itu, naib presiden Bersatu terbabit juga didakwa mencadangkan partinya keluar daripada PN selain menyebut PAS boleh bersama UmDAP (label gabungan Umno dan DAP oleh lawan).

Faizal atau lebih dikenali Peja didakwa mengeluarkan kenyataaan itu susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN dipercayai selepas didesak segelintir pemimpin PAS, penghujung tahun lalu.

Tangkap layar perbualan dipercayai dari kumpulan sembang WhatsApp pimpinan Bersatu yang disebarkan di media sosial. (Gambar Facebook)

“Saya nafi sekeras-kerasnya kandungan mesej yang tular.

“Saya dakwa perbuatan itu dilakukan oleh bekas ahli Bersatu yang cuba memporak perandakan lagi Bersatu dan mahu hubungan Bersatu-PAS renggang dengan tujuan untuk melumpuhkan PN,” kata Faizal kepada FMT.

Beliau turut mempersoalkan motif kumpulan terbabit menyerang Bersatu dengan halaman Facebook baharu berkenaan selain bekerja dengan musuh untuk melemahkan PN.

“Jadi saya nafi itu perbualan kami malah gambar profile saya juga berbeza,” katanya sambil mendakwanya palsu.

Dalam tangkap layar itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz didakwa telah menulis: “Rasanya lebih baik jika PAS yang keluar (dari PN) DS Peja. Mereka pun nak ke MN (Muafakat Nasional (MN) dah.”

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Jasri Jamaludin pula didakwa bersetuju dengan kenyataan Faizal dan meminta Muhyiddin mempertimbangkan semula keputusan meletak jawatan pengerusi PN.

Jasri ketika dihubungi turut mendakwa perbuatan itu dibuat akaun palsu yang tidak perlu dilayan.

“Memang bertujuan jahat dan nak menjahanamkan parti,” katanya yang juga Adun Kuala Sentul.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pula berkata parti itu akan menilai kesahihan perbualan dalam kumpulan sembang WhatsApp yang mengutuk PAS terbabit sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Semua organisasi ada bilik bincang atau grup Whatsapp tertutup. Di dalam ruang itulah, perbincangan dilakukan.

“Mendedahkan perbincangan yang sepatutnya tertutup itulah perbuatan yang tidak wajar,” katanya.

PN akan mengadakan mesyuarat luar biasa esok untuk memilih pengerusi yang baharu dan diadakan ketika kemelut dalam Bersatu semakin memunca susulan pemecatan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Bekas timbalan presiden Bersatu itu juga adalah timbalan pengerusi PN.

PAS telah menyatakan hasrat untuk memegang jawatan itu dan mengetuai gabungan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.