Peluang Zahid jadi PM semakin cerah, dakwa Khairy

Peluang Zahid jadi PM semakin cerah, dakwa Khairy

Bekas menteri itu berkata situasi ini antara lain didorong oleh pertikaian dalaman yang berterusan dalam parti-parti lain.

khairy jamaluddin n zahid hamidi
Khairy Jamaluddin berkata lebih ramai tokoh politik dilihat mempunyai masalah dengan Anwar Ibrahim berbanding Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Peluang Presiden Umno Zahid Hamidi untuk menjadi perdana menteri seterusnya dilihat semakin meningkat dengan pantas, dakwa bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Bercakap dalam episod terbaharu audio siar Keluar Sekejap, bekas menteri kesihatan itu berkata peningkatan peluang Zahid antara lain berpunca daripada konflik dalaman yang berlarutan dalam beberapa parti politik lain.

“Peluang Zahid berubah daripada hampir mustahil kepada agak besar – walaupun mungkin belum menjadi pilihan utama,” katanya.

Khairy berkata Umno ketika ini kelihatan lebih stabil dari segi dalaman berbanding parti lain, dengan keupayaan mengurus perbezaan pandangan tanpa menjejaskan kestabilan parti.

Beliau turut menyatakan Umno dengan sekitar 20 hingga 30 kerusi Parlimen, boleh menjadi penentu utama sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu mengekalkan kuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

“Dalam apa jua gabungan parti sekali pun, Umno akan memegang kunci untuk menentukan sama ada perdana menteri kekal berkuasa atau tidak,” katanya.

Khairy berkata masa pilihan raya juga memainkan peranan penting, sambil menambah Umno berpotensi meningkatkan kredibilitinya sekiranya memenangi pilihan raya di negeri seperti Melaka dan Johor, terutamanya jika PRU dan PRN diadakan secara berasingan.

Beliau turut berpandangan lebih ramai tokoh politik mempunyai masalah dengan Anwar berbanding dengan Zahid.

“(Ketua pembangkang) Hamzah Zainudin mengatakan masalah utamanya ialah Muhyiddin Yassin, tetapi beliau juga masih mempunyai isu dengan Anwar.

“(Bekas menteri ekonomi) Rafizi Ramli jelas mempunyai masalah dengan Anwar, dan PAS pula tidak percaya kepada kerajaan yang dipimpin Anwar.

“Jauh lebih ramai yang bermasalah dengan Anwar berbanding dengan Zahid,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.