Zamri Vinoth hadir muktamar, perwakilan Pemuda PAS Perlis ancam keluar dewan

Zamri Vinoth hadir muktamar, perwakilan Pemuda PAS Perlis ancam keluar dewan

Pemuda PAS Perlis terguris apabila majlis perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS semalam mengundang Muhammad Zamri Vinoth sebagai tetamu.

Pemimpin Pemuda PAS Perlis, Amirul Jufri Mat Saman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang perwakilan ke Muktamar Dewan Pemuda PAS yang berlangsung semalam mengancam untuk keluar dewan berikutan keputusan sayap parti itu menjemput penceramah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimutuhu sebagai tetamu.

Perwakilan Perlis, Amirul Jufri Mat Saman yang lengkap berpakaian seragam Jabatan Amal bangun bertanyakan perkara itu semasa sesi pembentangan Laporan Kewangan 2018 oleh bendahari Pemuda PAS Muhtar Suhaili, lapor Malaysiakini.

Muktamar tahunan Pemuda PAS di pusat percutian Bukit Gambang Resort dekat Kuantan semalam tiba-tiba hangat berikutan perkembangan yang tidak dijangka itu.

Ia bermula dengan sesi pembentangan Laporan Kewangan 2018 oleh Bendahari Pemuda PAS Muhtar Suhaili.

Amirul berkata Pemuda PAS Perlis berasa terguris apabila majlis perasmian pagi semalam mengundang Muhammad Zamri Vinoth sebagai tetamu.

“Saya mewakili perwakilan Pemuda PAS Perlis mahu penjelasan daripada dewan yang mulia ini, mengapa Muhammad Zamri Vinoth dijemput memberi ucapan?

“Kami dari Perlis lebih mengenali siapa beliau.

“Kalau tiada penjelasan, kami semua perwakilan Perlis akan keluar dari dewan ini,” katanya, menurut laporan itu.

Beliau sebelum itu meminta izin pengerusi tetap untuk bercakap dan bertanya tentang perkara lain yang tidak berkaitan dengan laporan kewangan yang dibentangkan.

Pengerusi tetap Kamal Ashaari bersetuju memberi peluang kepada Amirul untuk bercakap dalam sesi perbahasan wakil negeri selepas itu, dan beliau bersetuju.

Amirul berkata, kepimpinan Pemuda PAS pusat kurang mengenali Muhammmad Zamri serta seorang lagi tokoh yang dekat dengan penceramah itu, iaitu Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Laporan itu seterusnya menyebut, selepas diberi nasihat oleh Kamal, beliau kemudiannya bersetuju untuk menamatkan ucapannya yang dipercayai berkait dengan insiden kereta Mohd Asri terbakar pada 22 Mac lalu.

Berikutan kejadian itu, polis menahan reman 3 anggota Jabatan Amal bagi membantu siasatan kes.

“Hangpa tak kenal lagi siapa Maza (Mohd Asri), hangpa tak kenal lagi siapa Zamri Vinoth.

“Empat hari kami duduk dalam lokap, dia inilah orang yang menyebarkan fitnah kepada kami 4 anggota Jabatan Amal di Perlis.

“Apakah ini sikap Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap kami? Kami orang Perlis.

“Kami lebih kenal (mereka) tuan-tuan, bertanyalah sepatah kepada kami. Adakah antum (kamu semua) lebih rela berkawan dengan depa berbanding berkawan dengan kami?

“Kami orang Perlis, bertanyalah sepatah kepada kami (sebelum jemput),” kata Amirul.

Kamal meminta Amirul memahami keadaan dengan berkata, sesi pembentangan laporan kewangan itu bukanlan ruangan untuk membuat ucapan tersebut.

Amirul enggan melayan soalan yang dikemukakan wartawan selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.