
Perang mulut bermula apabila Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa gagal menjawab pertanyaan berhubung perkembangan penambahbaikan Tabung Haji (TH) sejak PH mengambil alih Putrajaya.
Ssuslan kegagalan Mujahid menjawab pertanyaan asal Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan menyatakan kesan peningkatan PH setelah perubahan pengurusan dan langkah penjimatan yang diambil sejak Mei 2018, Annuar mencadangkan kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjawab keresahan rakyat berhubung isu terbabit.
Menjawab cadangan Annuar, Mujahid berkata, kedudukan TH di bawah pengurusan kerajaan PH adalah terbaik dan ia tidak meresahkan rakyat seperti didakwa.
“Sepanjang maklumat saya, rakyat dibawah tidak resah, yang resah adalah pembangkang sahaja,
“..yang memanipulasi bukan kerajaan, yang buat ‘creative accounting’ pun bukan kerajaan hari ini. Perkara itu kami warisi daripada kerajaan terdahulu.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa pada suku pertama 2019 perbelanjaan operasi haji yang kami urus berbanding suku pertama 2018 yang pengerusinya ada disini (Ahli Parlimen Baling), pada 2018 sebanyak RM262 juta kos operasi, bila kami ambil alih telah kurangkan sebanyak RM58 juta, iaitu kepada RM204 juta,” katanya.
Berang dengan kenyataan Mujahid yang didakwa tidak menjawab soalan, wakil pembangkang Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berkata, kenyataan menteri agama itu berhubung penjimatan kos operasi haji dibawah kerajaan PH adalah “separuh masak” kerana tidak mengemukakan fakta menyeluruh perbezaan jumlah jemaah pada 2018 dan 2019.
“Yang pakai modal itu tak laku dah, orang tak nak dengar itu (salahkan kerajaan dahulu). Yang pergi haji (bawah kerajaan PH) berapa orang, jumlah orang pergi haji berapa ramai?” soal Tajuddin dan turut disokong Ahli Parlimen Lenggong,
Shamsul Anuar Nasarah yang meminta Mujahid mewujudkan RCI TH, sambil menyifatkan menteri itu “lemah otak” apabila gagal menjawab pertayaan dengan baik.
Keadaan semakin tegang apabila, Ahli Parlimen Baling, Abdul Aziz Rahim bangkit mencelah dan meminta Speaker memberi ruang kepadanya menjawab isu yang melibatkan TH.
“Kalau menteri tidak pandai jawab bagi saya tolong jawab, menteri jawab tanpa fakta. Menteri hanya bagi jawapan politik semata-mata.
“Saya minta beri peluang kepada saya. Ini tidak adil, menteri takut tidak berani buat RCI jangan cabar pada hari pertama (persidangan),” katanya.
Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Yusof bagaimanapun tidak membenarkan Abdul Aziz mengajukan pertanyaan soalan tambahan.
Menyusuli keputusan Speaker, wakil rakyat penyokong PH bangkit mencelah meminta Abdul Aziz menjawab kemelut yang dihadapai Tabung Haji kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan di Parlimen.
“Jawab dekat SPRM sahaja,” kata wakil rakyat penyokong kerajaan dipercayai merujuk kepada kes mahkamah yang dihadapi Abdul Aziz berhubung dakwaan pengubahan wang haram.
Berang dengan sindiran itu, Abdul Aziz sekali lagi bangkit mencelah dengan mencabar pihak kerajaaan membuktikan dirinya mencuri duit TH semasa menjadi pengerusi.
“Ini tidak ada kena mengena dengan SPRM. Adakah bekas pengerusi TH curi duit TH? Menteri sila jawab, kalau penakut jangan jadi menteri,” katanya.
Selepas beberapa minit kekecohan berlaku, Speaker berjaya mengawal keadaan dengan meminta semua wakil rakyat duduk sebelum meneruskan sidang.
Pada April lalu, TH mengumumkan hibah sebanyak 1.25% bagi tahun kewangan 2018, jauh lebih rendah berbanding 6.25% bagi 2017.
Mujahid ketika itu berkata, dividen berjumlah RM913 juta akan memberi manfaat kepada hampir 9.3 juta pemegang akaun yang aktif.
Susulan pengumuman itu, beliau mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk pembangkang yang menyifatkannya sebagai pencapaian TH yang paling buruk.