Ismail Sabri kekal ketua pembangkang, kata Zahid selepas kembali pimpin Umno

Ismail Sabri kekal ketua pembangkang, kata Zahid selepas kembali pimpin Umno

Presiden Umno itu berkata, keputusan itu dibuat bersama ahli Parlimen pembangkang lain.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ketua pembangkang.
KUALA LUMPUR:
Ahmad Zahid Hamidi yang kembali menjalankan tugas presiden Umno mengumumkan Naib Presidennya, Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai ketua pembangkang.

Katanya, keputusan itu dibuat bersama ahli Parlimen pembangkang lain.

“Ini bermaksud ada pembahagian kuasa.

“Ismail Sabri sebagai ketua pembangkang dan Mahdzir Khalid sebagai ketua whip Parlimen,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Zahid mengumumkan beliau kembali memimpin Umno selepas bercuti selama 6 bulan.

Sementara itu, Zahid berkata, beliau tidak akan mengaitkan Umno dalam 87 pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

“Biar saya hadapi sebagai nama peribadi di mahkamah. Tak libat Umno sebagai entiti parti politik. Saya serah sepenuhnya kepada barisan peguam saya untuk uruskannya.

“Pertuduhan ini juga tak halang saya sebagai ahli Parlimen.”

Minggu lalu, Zahid berdepan 7 dan 33 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Kementerian Dalam Negeri dengan sebuah syarikat mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau didakwa menerima rasuah lebih RM42.7 juta dan S$4.24 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd untuk melanjutkan kontrak menguruskan VLN serta pusat sehenti di China.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu, Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan – 12 pertuduhan pecah amanah, 8 dakwaan rasuah dan 27 dakwaan pengubahan wang – membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.