
Ranjeet Singh Sidhu, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad, lapor New Straits Times.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 kerana secara rasuah meminta atau menerima, atau bersetuju untuk menerima, atau cuba memperoleh apa-apa suapan untuk diri sendiri atau orang lain, sebagai dorongan atau upah untuk melakukan perbuatan berhubung dengan hal ehwal/urusan prinsipalnya.
Ranjeet dituduh melakukan kesalahan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur, pada 2 Julai 2012.
Dana berkenaan dikatakan telah disalurkan melalui Noorusa’adah Othman kepada Zafer Hashim, presiden dan pengarah urusan Kumpulan BPMB, untuknya meluluskan permohonan pinjaman oleh V Telecoms Bhd.
Tujuan pinjaman RM400 juta tersebut dinyatakan sebagai ‘bagi membangunkan rangkaian pesisir pantai terdiri daripada rangkaian gentian optik di seluruh Semenanjung’.
Ranjeet turut didakwa menggunakan dokumen palsu – satu jaminan penyelesaian bersama melibatkan V Telecoms dan Huawei Technologies Bhd bertarikh 21 Jun 2012 – bagi memenuhi syarat-syarat pinjaman.
Beliau dituduh menggunakan dokumen palsu berkenaan di pejabat BPMB di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 29 Jan 2012.
Beliau juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan dokumen palsu atau dokumen dipalsukan.
Rosli menetapkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac sebutan semula kes.
Hakim juga memerintahkan Ranjeet menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan bertindak bagi pihak pendakwaan, manakala Ranjeet diwakili peguam Gobinath Mohanna.