Tokoh kewangan Islam Daud Bakar didakwa subahat niaga sekuriti tanpa lesen

Tokoh kewangan Islam Daud Bakar didakwa subahat niaga sekuriti tanpa lesen

Beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Daud Bakar sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tokoh kewangan Islam Daud Bakar mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah, tiga tahun lalu.

Daud, 62, yang juga bekas pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia mengaku tak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut tuduhan, Daud selaku wakil syarikat aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT dan dua individu dikaitkan dengan intiti itu menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti.

Ia sedangkan AUF MBZ bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan seorang orang berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti, di mana kesalahan AUF MBZ Consortium PLT dilakukan akibat persubahatan Energy Eco.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023, di C6-1, Jalan Reef ½2, Pusat Perniagaan Reef di Rawang.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan jika sabit kesalahan, beliau berdepan denda sehingga RM10 juta, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 April untuk pengurusan kes.

Peguam Haziq Razali mewakili Daud manakala Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Shoba Venu Gobal, hadir bagi pihak pendakwaan.

Sementara itu, pengasas AUF MBZ Consortium PLT, Mahadi Badrul Zaman, 42, didakwa dua tuduhan sebagai wakil syarikat kerana menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen atau tidak berdaftar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di Subang Jaya dalam tempoh berasingan antara Jun 2021 hingga Februari 2024.

Pertuduhan pertama, yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus, meliputi kesalahan dari tempoh 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023, manakala pertuduhan kedua, yang dibacakan di hadapan Hakim Norma, meliputi kesalahan dari tempoh 3 Sept 2021 hingga 15 Feb 2024.

Di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, wakil syarikat dianggap bertanggungjawab terhadap kesalahan yang dilakukan sepanjang aktiviti terkawal syarikat. Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda maksimum RM10 juta, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.

Mahadi mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Pengasas QEW Group Bhd, Iqbal Mohamad, 47, turut didakwa atas pihak syarikat kerana bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT untuk menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 3 Sept 2021 hingga 15 Feb 2024 di premis syarikat di Seri Kembangan. Pertuduhan terhadapnya juga difailkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Iqbal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma.

Mahkamah membenarkan jaminan RM100,000 terhadap Mahadi dan RM50,000 terhadap Iqbal. Pengurusan kes bagi kedua-duanya ditetapkan pada 10 April.

Peguam Zamri Idrus mewakili Mahadi manakala Timbalan Pendakwa Raya K Mageswary dan Danial Imran Nasaruddin mengendalikan pendakwaan.

Peguam Iylia Syazwani Abdul Jamil mewakili Iqbal, dengan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Quek Yiing Huey, hadir bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.