Eskalator Resort World Genting Highlands terbakar

Eskalator Resort World Genting Highlands terbakar

Tiada sesiapa yang cedera dan resort itu tidak terjejas kerana kawasan kebakaran terletak di kawasan yang terasing.

Eskalator pelbagai tingkat yang terletak di antara Hotel Genting Grand dan Hotel First World, terbakar petang semalam. (Gambar Bomba Pahang)
KUALA LUMPUR:
Eskalator pelbagai tingkat yang terletak di antara Hotel Genting Grand dan Hotel First World, Genting Highlands terbakar kira-kira pukul 6 petang semalam.

Resort World Genting dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusan melaporkan tiada sesiapa yang cedera dan resort itu tidak terjejas kerana kawasan kebakaran terletak di kawasan yang terasing.

“Pelanggan segera dibawa ke tempat yang selamat oleh pasukan tindakan kebakaran resort itu yang berada di lokasi dan serta merta membuat kepungan di kawasan kebakaran.

Bomba tiba di lokasi kejadian dalam masa 10 minit dan kebakaran dipadamkan dengan serta-merta,” kata kenyataan itu.

Ia berkata semua operasi resort itu kembali seperti biasa.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata kebakaran hanya melibatkan bahagian landskap yang mempunyai hiasan pokok bunga plastik sebelum merebak ke bahagian bangunan.

“Anggaran kebakaran adalah 10% dan kebakaran dapat dikawal kira-kira setengah jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata 8 anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.