Ku Nan terima RM2 juta daripada pemaju bagi ‘tujuan PRK’, kata pendakwa raya

Ku Nan terima RM2 juta daripada pemaju bagi ‘tujuan PRK’, kata pendakwa raya

Timbalan pendakwa raya berkata, bekas menteri Wilayah Persekutuan itu meminta RM5 juta hingga RM6 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong.

Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah RM2 juta Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang bekas menteri itu menerima wang daripada seorang pemaju bagi tujuan pilihan raya kecil (PRK).

Timbalan pendakwa raya, Julia Ibrahim ketika membaca penyataan pembukaan kes berkata, bekas menteri Wilayah Persekutuan itu meminta RM5 juta hingga RM6 juta daripada Chai Kin Kong, pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd.

“Chai mengeluarkan sekeping cek RM2 juta bagi tujuan itu (PRK) dan wang itu dideposit kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd,” katanya sambil menambah Tengku Adnan ialah pemegang saham Tadmansori.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang butiran mengenai PRK itu.

Katanya, pihak pendakwaan akan menunjukkan bukti Chai menyerahkan cek RM2 juta kepada Tengku Adnan di pejabatnya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan menunjukkan bukti Chai menyerahkan surat cadangan kepada Tengku Adnan untuk pembelian 2 lot tanah di Bandar Tun Razak, di sini bagi tujuan pembinaan rumah mampu milik berharga bawah RM200,000.

“Tertuduh memberi arahan kepada timbalan ketua pengarah pelaksanaan projek dan penyelenggaraan DBKL ketika itu (Zulkifli Ibrahim) untuk meneliti cadangan itu berdasarkan surat Chai bertarikh 26 Januari 2015.”

Pihak pendakwaan juga berkata, permohonan Aset Kayamas untuk membeli 2 lot tanah itu ditolak datuk bandar ketika itu pada 3 April 2015.

Ahmad Phesal Talib ialah datuk bandar Kuala Lumpur dari 18 Julai 2012 hingga 17 Julai 2015.

Julia berkata, pihak pendakwaan juga akan membuktikan selepas DBKL menolak permohonan membeli tanah itu, Aset Kayamas berurusan terus dengan Tengku Adnan mengenai penolajan itu dan projek perumahan terbabit.

“Kami akan tunjuk kepada mahkamah Tengku Adnan memainkan peranan aktif dalam projek tersebut seperti mempengerusikan mesyuarat khas DBKL pada 14 Mei 2015, di mana mesyuarat itu bersetuju dengan cadangan pembangunan projek tersebut yang mengandungi kediaman rumah mampu milik, rumah harga bebas dan asrama DBKL di atas tapak seluas 0.5 ekar (0.2 hektar).”

Perbicaraan berterusan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Zaini Mazlan.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan, didakwa menerima RM2 juta daripada Chai, walaupun tahu syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan kementeriannya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Bank CIMB cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 2 tahun dan denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.