Biar rakyat nilai saya bebas atau tidak, kata KP SPRM

Biar rakyat nilai saya bebas atau tidak, kata KP SPRM

Latheefa akui beliau berfikir secara mendalam apakah sumbangan yang boleh diberikan kepada SPRM selepas ditawarkan jawatan KP agensi anti rasuah itu.

Latheefa Koya terkejut sewaktu ditawarkan Putrajaya untuk menggalas tugas pegawai nombor 1 SPRM.
PUTRAJAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya akui terkejut sewaktu ditawarkan Putrajaya untuk menggalas tugas sebagai pegawai nombor 1 dalam suruhanjaya itu, sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Latheefa berkata, beliau sendiri berfikir secara mendalam apakah sumbangan yang boleh diberikannya kepada agensi anti rasuah itu, sebelum memutuskan menerima tugas dan amanah tersebut yang sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.

“Pada dasarnya, saya hanya fikirkan sekiranya saya katakan tidak kepada peluang untuk berkhidmat kepada negara bagi menghapuskan rasuah, adakah saya akan menyesal di kemudian hari. Itulah perkara yang saya fikirkan sewaktu ditawarkan jawatan ini.

“Itu mungkin satu-satunya pertimbangan yang saya fikirkan sebelum mengambil keputusan menerima tugas ini.

“Jika tidak, saya sendiri lebih gemar kembali terlibat sebagai aktivis hak asasi manusia,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT di Ibu Pejabat SPRM.

Latheefa berkata, sewaktu menerima surat tawaran pada jam 2 petang, 4 Julai lalu, beliau sendiri mengetahui tugas dan tanggungjawab besar menantinya kelak, iaitu memastikan negara bebas daripada rasuah dan memberi keadilan kepada rakyat.

Sebaik sahaja pengumuman pelantikannya dibuat dan mendapat persetujuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, banyak pihak termasuk ahli politik mempertikaikan kemampuannya mengendalikan SPRM.

“Sama ada saya bebas atau tidak, itu terpulang kepada masyarat untuk menilai, bagaimana saya mengendalikan kes. Bukan saya yang nilai dan katakan saya ini bebas atau tidak. Masyarakat yang harus nilai diri saya,” katanya.

Nilai prestasi diri

Menurutnya, beliau kini dalam rangka menyediakan satu senarai semak peribadi bagi menilai prestasi dirinya dan akan mendedahkan kepada rakyat apabila tiba masanya.

“Saya secara peribadi mahu melihat keputusan yang ketara dalam usaha menghapuskan rasuah.

“Saya mahu dilihat sebagai seseorang yang boleh melaksanakan tugas serta dihormati dan ditakuti oleh sesiapa sahaja yang merasakan mereka boleh terlepas daripada kes rasuah,” katanya.

Jelas Latheefa, minggu depan beliau akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan pembela kematian Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor yang juga Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Bagaimanapun, ketika diminta memberi penjelasan lanjut, Latheefa menegaskan kes berkenaan merupakan antara kes yang disiasat dan tidak dapat memberi sebarang pandangan dan ulasan berhubung perkara itu, dibimbangi akan menjejaskan siasatan.

Kumpulan pembela kematian Teoh sebelum ini menzahirkan rasa tidak puas hati mereka selepas terdapat perubahan siasatan dilakukan polis, dengan mengklasifikasikan semula kes berkenaan daripada kes bunuh kepada kes melibatkan tahanan tanpa prosedur sebenar.

Menurutnya, sejak kematian Teoh, terdapat perubahan besar yang berlaku dalam agensi berkenaan dalam mengendalikan soal siasat sewaktu menahan individu terlibat dengan gelaja rasuah.

“Ia adalah jauh lebih baik berbanding 10 tahun dahulu. Dalam erti kata lain, ia adalah satu penanda aras bagi memastikan kes kematian Teoh itu tidak berulang kembali. Selepas kes itu, rakyat tidak lagi mengadu mereka menerima layanan buruk sewaktu ditahan SPRM,” katanya.

Ketika ditanya apakah usaha yang akan dilakukan dalam memerangi rasuah dalam kalangan anggota polis, Latheefa berkata beliau sendiri bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang baru sahaja dilantik, yang berikrar untuk menghapuskan rasuah.

Bagaimanapun, Latheefa berkata beliau tidak menafikan kewujudan unsur rasuah membabitkan anggota polis dan berharap Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dapat melihat lebih mendalam masalah ini, yang mana akan turut melibatkan SPRM sebagai salah satu pesuruhjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.