Waytha akan jumpa Dzulkefly berhubung Orang Asli diberi ubat perancang

Waytha akan jumpa Dzulkefly berhubung Orang Asli diberi ubat perancang

P Waytha Moorthy berkata terdapat jurang komunikasi antara pegawai kesihatan kerajaan dan Orang Asli berhubung pengambilan ubat perancang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy hari ini berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berhubung isu wanita Orang Asli diberi ubat perancang kehamilan bagi merawat anemia.

Bercakap kepada FMT, Waytha berkata terdapat kurang pemahaman di pihak pegawai kesihatan kerajaan berhubung keperluan khas Orang Asli apabila mereka mengadu diberi ubat perancang.

“Kami menghargai keprihatinan kementerian kesihatan, tetapi saya fikir episod ini menunjukkan jurang yang wujud antara Orang Asli dan pegawai kesihatan, dan menjadi tanggungjawab pegawai kesihatan untuk memastikan tidak ada jurang.

“Saya fikir penjagaan dan komunikasi yang lebih baik diperlukan untuk menjelaskan kepada Orang Asli keadaan mereka dan risiko mereka mempunyai anak ketika mengalami anemia,” kata Waytha yang bertanggungjawab terhadap perpaduan negara dan kesejahteraan sosial.

Semalam, Dzulkefly berkata ubat perancang yang diberikan kepada wanita Orang Asli adalah untuk mengurangkan komplikasi kehamilan yang dikaitkan dengan anemia.

Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada program intervensi kerana penting bagi wanita yang mengalami anemia untuk mengelakkan kehamilan. Beliau juga mengatakan ubat itu diberikan “atas rasa tanggungjawab”.

Namun Waytha berkata mempunyai anak adalah keputusan yang sangat peribadi dan kerajaan tidak berniat mencerobohi kehidupan peribadi Orang Asli.

Beliau berkata fokusnya adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan Orang Asli dan semua usaha merawatnya perlu habis sebelum menggunakan ubat pencegahan kehamilan.

“Saya akan mendorong dan memudahkan penglibatan lebih ramai NGO untuk membantu pegawai kesihatan di kawasan ini.

“Oleh kerana NGO ini bekerjasama rapat dengan komuniti itu, mereka akan membuktikan ada gunanya merapatkan jurang antara Orang Asli dan pegawai kesihatan,” katanya.

Selasa lalu, Orang Asli Temiar mendakwa golongan ibu dan wanita baru berkahwin menjadi sasaran petugas perubatan kerajaan supaya mengambil ubat perancang atas alasan mengawal kelahiran.

Sebelum ini, komuniti itu juga mendakwa mereka tidak diberitahu tujuan dan kesan sampingan daripada pengambilan ubat perancang tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.