Jangan jadi ‘munafik’, Azmin beritahu Shamsul

Azmin Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali membidas Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin atas kenyataan yang menyeru pemimpin yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai.

“Jangan jadi ‘munafik’,” jawab Azmin dengan ringkas, ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Shamsul berkata perkara itu penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti, “apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai”.

Perkembangan ini sebulan selepas video seks sejenis yang menyasarkan Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, tersebar.

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bulan lalu.

Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang.

Haziq ditahan pada 14 Jun dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.