Kami beritahu KM, kami mahu projek tambak laut dibatal, kata nelayan Pulau Pinang
Di bawah projek tambak lau Pulau Pinang, 3 pulau berukuran 4,500 ekar akan dibina dan dijual bagi membiayai projek pengangkutan di negeri itu bernilai RM46 bilion.
GEORGE TOWN: Persatuan Nelayan Pulau Pinang hari ini berkata, ia “sebulat suara” membantah projek tambak laut 3 pulau di sepanjang pantai selatan pulau itu, berlawanan dengan dakwaan kerajaan negeri bahawa mereka telah bersetuju menerima projek berkenaan.
Pengerusinya Nazri Aziz berkata, nelayan terbabit memaklumkan pendirian mereka kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan anggota exco kerajaan negeri Dr Afif Bahardin dalam satu mesyuarat pada 31 Mei dan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada mereka.
“Ia adalah keputusan sebulat suara nelayan yang mahu Projek Tebus Guna Pulau Pinang (PSR) dibatalkan,” katanya pada sidang media malam tadi.
“Kami menulis kepada KM dengan menyenaraikan kelemahan laporan penilaian kesan alam sekitar PSR. Tetapi kami juga memberitahu, sekiranya PSR diteruskan kami mahukan satu pelan transformasi, bukan pampasan.”
Terdahulu minggu ini, Chow berkata, beliau menghormati bantahan nelayan terhadap projek tersebut, dan menambah bahawa mereka antara lain meminta diberikan bot, bukannya pampasan.
Chow berkata, permintaan itu merupakan pengesahan secara tidak langsung bahawa projek tambak laut itu tidak memberi kesan ke atas kehidupan mereka, seperti didakwa oleh kumpulan pendesak.
Nazri bagaimanapun berkata, Chow tersalah tafsir isi perbincangan pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini, dengan menggambarkan nelayan hanya mahukan pampasan.
“Ia menghina nelayan dan penafian hak kami untuk bersuara.”
Katanya, persatuan itu, yang mewakili kira-kira 5,000 nelayan di Pulau Pinang akan terus berusaha menghentikan projek tambak laut itu.
Minggu lepas, Chow berkata, beliau menerima satu cadangan daripada persatuan berkenaan pada mesyuarat pada 31 Mei, yang menyaksikan nelayan meminta bot, sebuah jeti sementara dan bayaran ex-gratia kepada nelayan berdaftar.
“Mereka meminta bot. Ia merupakan pengakuan bahawa aktiviti nelayan akan diteruskan sementara projek itu berjalan.
“Selain itu terdapat banyak alur air yang boleh digunakan nelayan sewaktu projek tambak laut berjalan, tanpa perlu mengambil jalan jauh untuk ke laut,” katanya.
Berhubung dakwaan persatuan itu hari ini, Chow memberitahu FMT bahawa pendirian kerajaan negeri tidak berubah, iaitu ia menghormati pandangan mereka.
“Kami juga mengakui bahawa persatuan ada menyerahkan tuntutan supaya diadakan satu pelan transformasi, termasuk meminta bot bagi meneruskan kehidupan mereka dan diberikan keutamaan untuk membeli rumah kos rendah-sederhana kerajaan.
“Pendirian kerajaan Pulau Pinang sejak awal lagi ialah untuk memulakan rundingan dengan persatuan hanya selepas kajian alam sekitar diluluskan,” katanya.
Pada Selasa, Chow berkata, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan kajian alam sekitar terbabit yang membenarkan projek tambak laut 3 pulau itu dengan 72 syarat.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di bawah projek berkenaan, 3 pulau berukuran 4,500 ekar akan dibina dan dijual bagi membiayai projek pengangkutan di negeri itu bernilai RM46 bilion, termasuk satu laluan LRT yang diluluskan baru-baru ini.