
Joanna Yu Ging Ping, 48, bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad berkata, transaksi itu termasuk pemindahan dana dari luar negara dalam mata wang asing.
Semasa membaca kenyataan saksi pada hari ke-41 perbicaraan, beliau yang kini tidak bekerja berkata, bagi tujuan melaporkan pemindahan dana dari luar negara ke Bank Negara, beliau bertanya Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Sdn Bhd) mengenai tujuan penerimaan dana itu dan dimaklumkan ia adalah “hadiah”.
“Sebagai pengurus perhubungan, saya rapat dengan pelanggan korporat dan individu di dalamnya yang mempunyai kedudukan tinggi, biasanya kerana kedudukan dan kekayaan mereka. Najib termasuk dalam kategori pelanggan, oleh itu kami merupakan penghubung bagi perkara berkaitan bank.
“Bagaimanapun, memandangkan Najib telah memberi mandat kepada Nik Faisal untuk bertindak bagi pihaknya, saya biasanya bertemu dan berurusan dengan Nik Faisal dan tidak secara langsung dengan Najib,” kata saksi pendakwaan ke-54 semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed.
Menjelas lanjut perkara itu, saksi berkata, beliau tidak mempunyai akses langsung ke atas akaun bank Najib, tetapi sebagai pengurus perhubungannya, beliau akan membantu dan mengemukakan sebarang permintaan daripada Najib atau Nik Faisal sebagai pemegang amanah berhubung akaun itu ke bahagian produk berkaitan dalam Ambank.
“Semua pemindahan dana antara akaun semasa Najib mengikut arahan bertulis yang diterima daripada Nik Faisal berdasarkan mandat yang diberikan kepadanya. Seperti yang disebutkan, saya membantu dengan menghantar arahan bertulis yang diterima daripada Nik Faisal ke cawangan untuk tindakan mereka.
“Memandangkan kedudukan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan (ketika itu), ada keadaan di mana akaun semasa telah terlebih keluar, bank tidak akan secara automatik menolak cek-cek yang dikeluarkan Najib.
“Cawangan akan memaklumkan kepada saya mengenai keadaan terlebih keluar dan saya akan menghubungi Nik Faisal segera melalui panggilan telefon, mesej atau e-mel untuk memperbaiki keadaan terlebih keluar bagi memastikan cek dapat dijelaskan, Nik Faisal tidak boleh dihubungi.”
Saksi itu berkata, apabila arahan diterima daripada Nik Faisal sebagai pemegang amanah bagi akaun Najib, arahan itu datang daripada Najib sendiri.
“Saya juga memaklumkan Pengarah Urusan Kumpulan Ambank Group, Cheah Tek Kuang mengenai arahan sama yang terima dan tindakan diambil berhubung akaun tersebut ketika ditanya Cheah dari masa ke masa.
“Ini kerana saya percaya Najib berhubung dengan Cheah dan saya perlu memaklumkan perkembangan terkini supaya beliau tahu tindakan yang diambil atau ditangguhkan di pihak kami.”
Beliau berkata, Najib mengeluarkan surat bertarikh 3 Mac 2015 untuk membatalkan kad Visa Platinum (nombor 4585 8180 0000 5496) dan kad MasterCard Platinum (nombor 5289 4380 0003 8961).
“Selepas itu, saya dimaklumkan bahagian kad kredit bank bahawa kad kredit itu tidak dapat dibatalkan kerana terdapat baki belum jelas untuk kedua-dua kad.
“Saya memaklumkan perkara itu kepada Nik Faisal. Kedua-dua kad kredit dibatalkan pada 11 Mac 2015 susulan pembayaran baki tertunggak pada 10 Mac 2015.
“Berhubung 3 akaun semasa yang dibuka pada 2013, Najib mengeluarkan surat arahan bertarikh 3 Mac 2015 untuk menutup ketiga-tiga akaun berkenaan dan mendebitkan sebarang baki kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd. Saya mengemukakan surat tersebut kepada cawangan untuk tindakan lanjut.”
Katanya, memandnagkan akaun semasa Najib sentiasa terlebih belanja dan AmBank terpaksa menunggu dana dimasukkan bagi menjelaskan cek dikeluarkan Najib, serta Cheah sudah bersara dan tidak berada dalam lembaga pengarah AmBank pada akhir 2014, ia bermakna AmBank tiada lagi cara untuk mengekalkan hubungan dengan Najib dan pengurusan kanan AmBank membincangkan cadangan menutup akaun semasa Najib.
“Akaun semasa Najib dengan Ambank akhirnya ditutup pada 9 Mac 2015.”
Najib, 66, menghadapi 3 pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan diteruskan di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.