
Peguamnya, Farhan Shafee memberitahu Mahkamah Rayuan hari ini satu notis menghentikan rayuan sudah difailkan semalam.
“Perbicaraan di Mahkamah Tinggi sudah memasuki peringkat lanjut dan rayuan ini tidak lagi sesuai.”
Setakat ini, 54 saksi sudah memberi keterangan dalam perbicaraan yang akan diadakan sehingga 15 Ogos ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan berkata, pasukan pendakwaan tidak menolak penarikan itu.
Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Rahman Sebli kemudiannya menggugurkan rayuan Najib.
Perbicaraan akan diteruskan di Mahkamah Tinggi hari ini.
Najib cuba mengetepikan 7 pertuduhan sebelum perbicaraannya bermula 4 April lalu atas alasan pertuduhan itu kabur dan beliau tidak boleh membuat pembelaan boleh dipercayai.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika menolak permohonan untuk mengetepikan 7 pertuduhan itu dilaporkan berkata, tiada kelemahan dalam pertuduhan itu.
Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan dana SRC International sebanyak RM42 juta ke akaunnya.
Ahli Parlimen Pekan itu turut didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.