
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Faiz Ibrahim, 36, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, menurut Harian Metro.
Mengikut semua pertuduhan, dia yang bertugas sebagai penolong pegawai ehwal ekonomi dan pengurus ladang Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur didakwa dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri, hasil penjualan Buah Tandan Segar (BTS) Sawit keseluruhannya bernilai RM141,872.67 kepunyaan Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur, Pusat Kemajuan Peladang, Mawai Baru, Kota Tinggi, antara 26 April 2021 hingga 15 November 2022.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah bagi 16 pertuduhan pilihan melakukan pecah amanah jenayah dengan menjadikan harta yang diamanahkan kepadanya iaitu BTS sawit yang keseluruhannya berjumlah RM141,872.67 milik pertubuhan itu untuk kegunaan sendiri dengan menjual buah berkenaan dan memasukkan hasil jualan ke dalam akaun miliknya.
Bagi perbuatan yang dilakukan di lokasi dan waktu yang sama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alice Voon Mei Ling menawarkan jaminan RM25,000.
Bagaimanapun, peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili tertuduh membantah dengan alasan anak guamnya sudah berkhidmat dengan LPP sejak 2011 dengan pendapatan terkini RM4,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 30 April depan bagi serahan dokumen.