
Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata 2 lelaki itu masing-masing ialah pengusaha dan pekerja pontun di sungai berkenaan.
“Mereka yang berusia awal 30-an ditahan di pontun itu di Kuala Selangor dan kini direman 4 hari sehingga 28 Julai,” katanya pada penutup seminar dan latihan ancaman keganasan di sini, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, polis mengambil lebih 10 keterangan dalam siasatan kes itu.
Azam berkata, siasatan turut dijalankan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor.
Selasa lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis akan menyiasat kes itu di bawah akta paling serius, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Isnin lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dilaporkan berkata siasatan polis mengesahkan wujud unsur sabotaj dalam pencemaran diesel di Sungai Selangor yang menyebabkan penutupan 4 loji rawatan air utama pada petang Ahad lalu.
Ia selepas Air Selangor mengesan pencemaran diesel di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.
Katanya, pencemaran diesel itu berpunca daripada aktiviti mengorek pasir di hulu sungai yang menyebabkan 4 LRA itu dihenti tugas bermula 6 petang Ahad, sebelum ia beroperasi semula kira-kira 3.30 pagi Isnin lalu.