Biar Dr M jadi PM hingga habis penggal, kata Azmin

Biar Dr M jadi PM hingga habis penggal, kata Azmin

Azmin Ali berkata Mahathir Mohamad masih perlu memimpin Malaysia kerana beliau menjamin 'kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan' dasar kerajaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.
PETALING JAYA:
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hari ini mengucapkan terima kasih kepada PAS dan Umno atas sokongan mereka supaya Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal, dalam langkah yang dilihat sebagai reservasi kepada janji Pakatan Harapan supaya Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan tersebut daripada ahli politik veteran itu.

Azmin, yang baru-baru ini bertelagah dengan bos partinya selepas Anwar mengeluarkan komen berhubung video seks gay yang mensasarkannya, berkata Mahathir masih perlu memimpin Malaysia kerana beliau menjamin “kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan” dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara, termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” kata Azmin dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah konsensus PH, Anwar sepatutnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun.

Mahathir berulang kali memberi jaminan bahawa penyerahan jawatan akan berlaku, mengatakan ia adalah janji yang akan beliau tunaikan.

Namun, PAS dan Umno mendesak agar Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggalnya 5 tahun, iaitu mandat yang diberikan kepada PH pada pilihan raya lepas.

Sebelum ini, bekas seteru Mahathir, Tengku Razaleigh Hamzah memberi amaran bahawa sebarang pemindahan kuasa, jika dibuat secara tergesa-gesa dan terlalu awal, boleh memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara.

“Sekarang ini kita banyak baca sandiwara, ada pertelingkahan antara 1 kumpulan dengan kumpulan lain, sekarang ini mereka banyak main catur,” kata Razaleigh.

Azmin berkata kenyataan sokongan daripada Umno dan PAS merupakan “lembaran baru” dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberi keutamaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.