Kerajaan berusaha ketatkan akta perhutanan, kata timbalan menteri

Sebelum ini Peka menggesa pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 bagi menangani isu yang timbul daripada permasalahan pengurusan hutan.

PETALING JAYA: Kerajaan mendakwa ia sedang berusaha mengetatkan undang-undang pengurusan hutan dan mempertimbangkan cadangan daripada NGO untuk tujuan itu.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji memberitahu FMT pegawai di kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dan beliau berharap proses itu akan selesai dengan cepat bagi membolehkan pembentangan akta berkaitan di persidangan Dewan Rakyat.

“Jika tidak, kami akan membentangkannya pada awal tahun depan,” katanya.

“Kami perlu membawa pindaan yang dicadangkan kepada pejabat Peguam Negara terlebih dahulu. Kami juga akan mendapat maklum balas daripada NGO.”

Baru-baru ini, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil mendakwa kerajaan tidak proaktif meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan khazanah alam dapat dikekal, dipelihara dan diuruskan dengan cara mampan.

Peka menggesa pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 bagi menangani isu yang timbul daripada permasalahan pengurusan hutan.

Shariffa Sabrina juga berkata, Peka akan mendekati ahli Parlimen kedua-dua belah pihak bagi menerangkan intipati penting berhubung cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu.

Ia juga meminta penubuhan majlis penasihat pakar di bawah Akta Perhutanan.

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Tengku Zulpuri berkata ini adalah beberapa cadangan yang sedang dipertimbangkan kementeriannya.

Antara pindaan lain yang dipertimbangkan, katanya, adalah salah satu yang akan mengurangkan had ke atas kuasa kerajaan persekutuan di beberapa kawasan.

“Masih ada pemisahan kuasa antara kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa negeri.

“Dalam urusan perhutanan, kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh penguatkuasaan dan kuasa untuk memberi permit untuk pembalakan dan sebagainya. Kerajaan persekutuan hanya boleh membuat dasar dan mengawasi. Jika mana-mana laporan mengenai pelanggaran dibuat, kita hanya boleh ambil perhatian dan memberitahu negeri untuk bertindak.

“Salah satu perubahan yang kami mahu mencadangkan adalah untuk kerajaan persekutuan mempunyai kuasa bagi memastikan kerjasama yang lebih baik daripada negeri. Sekiranya negeri bersetuju, maka ia adalah baik untuk hutan kita.”

Beliau juga berkata kementeriannya merancang menjadikan mandatori bagi setiap negeri mengadakan pendengaran awam, seperti yang dilakukan kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, beliau menambah kementeriannya perlu mencapai perjanjian dengan negeri. “Sekiranya negeri-negeri tidak bersetuju, tiada apa yang boleh kita buat.”