Bangkok digegar siri letupan kecil, 4 cedera

Polis Bangkok mengesan 9 letupan kecil di 5 lokasi bandar raya itu semalam yang menyaksikan 4 orang cedera. (Gambar Bernama)

BANGKOK: Polis Thailand mengesan 9 bom, termasuk yang sudah meletup, di 5 lokasi, dalam insiden letupan kecil di kota Bangkok semalam, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 4 orang tercedera.

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha yang mengutuk dalang di sebalik letupan itu mengarahkan supaya siasatan segera dijalankan, di samping meminta orang ramai supaya tidak panik.

“Polis masih belum mengenal pasti motif insiden. Kita masih tidak dapat mengesahkan sekiranya semua insiden itu mempunyai kaitan.. ia mungkin dilakukan oleh seorang atau satu kumpulan, pihak berkuasa masih menyiasat,” katanya dalam persidangan media di sini, semalam.

Beliau turut mengarahkan pihak berkuasa berkaitan supaya meningkatkan pemeriksaan keselamatan dan rondaan di lokasi utama di tengah ibukota.

Insiden semalam menyaksikan beberapa letupan kecil dilaporkan berlaku di tengah kota Bangkok, di tengah kesibukan pada waktu pagi.

Bangkok ketika ini menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean ke-52 dan pasca Persidangan Menteri dan Mesyuarat Berkaitan (AMM/PMC ke-52), namun tidak ada antara letupan itu berlaku berdekatan dengan venue mesyuarat.

Satu letupan dilaporkan berlaku di stesen Chong Nonsi BTS Skytrain semasa waktu sibuk pada sebelah pagi yang menyaksikan 2 orang cedera, manakala satu lagi letupan di Rama Road IX di tengah Bangkok mencederakan 2 petugas pembersihan jalan.

Satu lagi letupan berlaku dekat dengan Kompleks Kerajaan di Jalan Chaeng Wattana di Daerah Lak Si, utara Bangkok, dan beberapa minit kemudian satu lagi letupan dilaporkan di kawasan taman berhampiran Kompleks yang sama.

Sementara itu polis turut menemui kotak yang tidak dikenali dibawa sebuah eskalator di stesen Sala Daeng BTS Skytrain, namun ia disahkan tidak berbahaya, lebih berupa amaran palsu.

Kelmarin polis Thailand menemui 2 bom palsu di ibu pejabat polis, yang terletak berhampiran dengan tempat berlangsungnya mesyuarat keselamatan serantau itu, mencetuskan kebimbangan buat seketika. Namun semalam polis menahan 2 lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan bom palsu itu.