
Ketua Biro Imigresen Thailand Lt Jen Polis Sompong Chingduang berkata rekod perjalanan serta rakaman kamera keselamatan di pusat pemeriksaan imigresen di Narathiwat menunjukkan kedua-dua suspek dari Narathiwat itu pernah melintasi sempadan.
“Kami sudah temui rekod perjalanan suspek, dan juga rakaman video yang menunjukkan wajah mereka dengan jelas,” katanya kepada media.
Kedua-dua suspek ditahan di Chumphon, Jumaat, kerana disyaki meletakkan alat letupan berdekatan dengan ibu pejabat Polis Diraja Thailand, namun bom itu berjaya dimatikan sebelum meletup.
Dalam kejadian Jumaat lepas, beberapa siri letupan di 5 lokasi di ibukota Bangkok mengakibatkan 4 orang tercedera.
Kedua-dua lelaki itu ditahan selama 7 hari di bawah Undang-undang Darurat Thailand bagi membantu siasatan.
Sompong bagaimanapun enggan mendedahkan butir lanjut perjalanan kedua-dua suspek itu, atau sekiranya masih ada suspek yang mengiringi kedua-dua lelaki itu, yang sedang dicari pihak berkuasa.
Katanya Ketua Polis Diraja Thailand, Jen Polis Chakthip Chaijinda mengarahkan pegawai imigresen supaya meningkatkan pemeriksaan keselamatan di semua pintu sempadan negara.