
Mangsa dikenali sebagai Donysius Gabriel Goh, 36, bersama lima lagi petugas berada di lokasi berkenaan bagi menjalankan operasi pengukuran sempadan antarabangsa, lapor Berita Harian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Sarawak berkata, tiga anggota dari Balai Bomba Lawas digerakkan ke lokasi untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas menerima laporan kejadian itu pada 9.19 malam, Rabu.
Katanya, berdasarkan maklumat, kejadian berlaku kira-kira 4 petang Selasa apabila semua petugas terbabit bergerak dari ‘Base Camp’ ke Sungai Ulu Temburong untuk mencari ikan.
“Bagaimanapun, keadaan cuaca bertukar buruk dengan hujan lebat kira-kira 8.30 malam menyebabkan arus sungai menjadi deras dan berbahaya.
“Semua petugas terbabit kemudian mengambil keputusan untuk bermalam dan mendirikan khemah di kawasan selamat berhampiran sungai berkenaan.
“Ketika usaha menyeberangi sungai ke lokasi perkhemahan, seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras sebelum hilang dari pandangan rakan-rakan,” katanya.
Katanya, lima petugas yang terselamat cuba melakukan pencarian pada malam kejadian dan keesokan paginya tetapi masih gagal mengesan mangsa.
Menurutnya, mereka kemudian kembali ke Base Camp pada pagi Rabu bagi melaporkan kejadian dan mendapatkan bantuan lanjut daripada pihak berkuasa.