Perbicaraan 1MDB Najib ditunda

KUALA LUMPUR: Perbicaraan Najib Razak atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB yang sepatutnya bermula hari ini, ditunda buat sementara waktu ke 26 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah akan menemui pihak pendakwaan dan peguam bela pada Khamis ini untuk memuktamadkan tarikh perbicaraan.

Hari ini, Sequerah cuba meyakinkan pihak pendakwaan memulakan perbicaraan dengan membaca kenyataan pembukaan dan memanggil saksi tidak rasmi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Gopal Sri Ram berkata kes 1MDB tidak boleh diteruskan kerana perbicaraan SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib masih berlangsung di depan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hari ini.

“Saya difahamkan saksi terakhir pendakwaan (pegawai penyiasat Rosli Hussain) sedang memberi keterangan dan pihak pembelaan akan periksa balas beliau sebelum kes itu ditutup.”

Katanya, atas sebab pentadbiran, pasukan pendakwaan hanya menyerahkan keterangan 12 saksi pada Jumaat lalu, oleh itu perbicaraan hanya boleh bermula dalam masa 14 hari mengikut Seksyen 402B Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami juga akan menyerahkan 15 ikatan besar dokumen kepada pihak pembelaan hari ini.”

Sequerah berkata, beliau sedia mengetepikan syarat 14 hari, tetapi peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah berkata, syarat undang-undang perlu dipatuhi.

“Kita perlu mengkaji dokumen itu,” katanya sambil menambah pihak pembelaan tidak bersedia buat masa ini.

Beliau mencadangkan perbicaraan bermula 3 September ini, seperti dicadangkan Sri Ram terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Sri Ram berkata, beliau terbuka untuk perbicaraan 1MDB dimulakan pada 26 Ogos ini kerana pihak pendakwaan akan menyelesaikan perbicaraan SRC International menjelang akhir minggu ini.

Shafee berkata, Sequerah boleh memutuskan tarikh perbicaraan pada Khamis ini selepas pihak pembelaan membaca semua dokumen 1MDB yang diserahkan kepada mereka.

Hakim menetapkan pengurusan kes pada Khamis ini dan perbicaraan ditetapkan buat sementara waktu pada Isnin depan.

Sebelum ini, Sequerah menetapkan hari ini sehingga 14 November nanti untuk prosiding perbicaraan 1MDB.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa pada September 2018 atas dakwaan memasukkan RM2.28 bilion dana 1DMB ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Bekas perdana menteri itu turut berdepan 3 pertuduhan lain dan tarikh perbicaraan kes berkenaan ditetapkan pada 13 Januari sehingga Jun 2020.

Perbicaraan SRC International Najib sepatutnya tamat minggu lalu, tetapi kes itu ditunda ke hari ini selepas beliau mengambil cuti sakit akibat jangkitan di kedua-dua matanya.