Nak ke perempuan kita peluk penunggang Gojek, kata bos teksi

Shamsubahrin Ismail.

KUALA LUMPUR: Pengasas Big Blue Taxi Services, Shamsubahrin Ismail tidak bersetuju dengan cadangan memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Gojek.

Beliau mahu kerajaan selesaikan masalah e-panggilan dan pemandu teksi terlebih dulu, dan memberi amaran dia akan menganjurkan tunjuk perasaan jika kelulusan diberikan.

Shamsubahrin berkata cadangan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu, untuk membantu pengguna motosikal membuat perniagaan kecil, bukan suatu kemajuan.

“Dia seru anak muda jadi ‘despatch’, tak nak maju ke depan. Banyak menteri maju ke depan seperti kereta nasional, kereta terbang tapi Syed Saddiq tak.

“Bawa Gojek sebagai kerjaya tak dapat jamin masa depan. Anak muda tak nak tapi mereka terpaksa sebab tak ada kerja,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Big Blue Taxi Services di Wisma Sentral hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata jemaah menteri akan membincangkan cadangan membawa masuk Gojek, dan kementeriannya akan menjalankan kajian secara mendalam jika dipersetujui.

Shamsubahrin berkata Gojek tidak boleh dilaksanakan di sini atas sebab-sebab budaya.

“Kita nak ke orang perempuan kita, seru Gojek, peluk penunggang dari belakang?” katanya.

“Gojek di Indonesia boleh sebab kemiskinan tinggi,” tambahnya.

Gojek merupakan syarikat Indonesia yang sudah melebarkan sayapnya ke Vietnam dan Thailand.

Beliau memberi amaran pemandu teksi, pemandu e-panggilan dan pemandu bas akan terjejas jika kerajaan meluluskan perkhidmatan motosikal itu.

“Ini bukan ugutan tapi kerajaan akan berubah kalau Kabinet luluskan. Jangan ingat boleh naik populariti atau menang pilihan raya.

“Kita akan buat perhimpunan kalau Gojek diluluskan, di Putrajaya, keramaian depan Syed Saddiq, rumah Loke.”