
Ketua Pengarah Pengangkutan Darat, Aan Suhanan, berkata pihak pengurusan syarikat teksi e-panggilan, Green SM Indonesia dipanggil untuk memberi penjelasan.
“Kami menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat lebih lanjut pembabitan teksi Green SM, termasuk aspek pelesenan, kelengkapan pentadbiran, piawaian keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan operasi pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Agensi Berita Antara melaporkan pelanggaran itu berpunca daripada sebuah teksi berhenti di atau berhampiran lintasan kereta api, mengganggu pergerakan tren sebelum insiden berlaku pada Isnin malam.
Menurut laporan itu, sebuah tren komuter terpaksa berhenti sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah tren jarak jauh di landasan sama.
Sebelum ini, Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Jakarta, Desiana Kartika Bahari, berkata 85 mangsa terselamat, termasuk mereka yang sedang menerima rawatan dan dibenarkan pulang dengan kecederaan ringan.
Aan berkata, teksi terbabit didaftarkan secara sah dan mempunyai permit operasi sah sehingga Oktober ini, namun pihak berkuasa akan menjalankan audit lanjut terhadap sistem pengurusan keselamatan syarikat itu.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Badan Nasional Mencari dan Menyelamat, Mohammad Syafii, berkata operasi menyelamat dan pemindahan selesai dalam tempoh kurang 12 jam yang berakhir 8 pagi Selasa.
Katanya, prosedur ketat akan terus dilaksanakan semasa proses pembersihan sisa pelanggaran.